Penerbit filem Ada Apa Dengan Dosa (AADD), Datuk Ayu Puteh tidak menolak kemungkinan untuk menerbitkan sekuel filem bergenre Islamik itu.

Kata Ayu, sambutan luar biasa yang diterimanya itu membuatkannya tidak putus semangat untuk meneruskan kesinambungan naskhah terbabit.

"Untuk sekuel ini, kita masih lagi membicarakan soal hukum-hakam yang kita sendiri masih kabur mengenainya.

"Kita akan buat sesi lampias otak untuk membincangkan jalan cerita, skrip dan sebagainya. Insya-Allah penggambaran akan bermula tahun depan," ujarnya.

AADD mengangkat kisah seorang ustaz menghadapi dosa silam apabila pernah berzina hingga melahirkan anak luar nikah. Lebih menakutkan, anak itu membesar sebagai seorang yang berfikiran bebas dan tidak mempercayai kewujudan Tuhan hingga mahu membunuh diri.

Filem yang menjalani penggambaran di Scotland pada 2018 itu dibintangi pelakon, Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, Haris Ismail (PU Riz), Adam Corrie dan Fauziah Nawi.

AADD telah ditayangkan di 70 pawagam di seluruh negara sejak 10 September lalu.