Laman Utama
“Darah Merata…”- Awal Ashaari Kongsi Pengalaman Kedua Menyaksikan Proses Bersalin
Pengacara dan pelakon Awal Ashaari mengakui tak pernah membayangkan dapat melihat sekali lagi proses bersalin cahaya matanya sendiri.
Menurut Awal ia bagai satu keajaiban apabila melihat cahaya mata keduanya itu dilahirkan oleh isterinya, Scha Alyahya.
Awal berkongsi mengenai situasi di ruang bersalin pada ketika itu.
"Tak pernah saya bayangkan perasaan dapat melihat sekali lagi proses kelahiran.
"Rasa ketenangan, laungan ayat al-Quran, bunyi monitor degupan jantung, kasut merah jambu doktor, dan tiba-tiba keadaan jadi sedikit kelam kabut.
"Darah merata, degupan jantung jadi laju dan keluarlah seorang bayi yang diselaputi cecair putih, tertonggeng sambil tapak kakinya dipukul, mulutnya dimasukkan 'tube' kecil," katanya.
Awal berkongsi perkara tersebut di akaun Instagram miliknya.
Menerusi entri tersebut Awal turut berkongsi saat pertama kali mendengar tangisan bayinya itu.
"Jururawat cakap nangis lah. Nak dengar nangis sikit.
"Tangisan pertama tapak kakinya dipukul lagi. Mulutnya dicucuk lagi.
“Tangisan seterusnya tali pusat dipotong dan dibawa ke atas meja," katanya.
Dalam masa sama, Awal mengucapkan rasa syukur kepada Allah atas peluang untuk melalui pengalaman itu.
"Ya Allah, saya bersyukur dapat sekali lagi menjadi saksi kepada keajaiban ini," tulisnya.
Pengalaman itu bakal dikongsi Awal dan Scha menerusi program Schawal Baby Boom, pada 18 Februari ini, jam 9.30 malam di Astro Ria.
Awal dan Scha selamat bernikah pada 4 Mei 2012 dan dikurniakan anak pertama, Lara Alana yang kini berusia tujuh tahun.