Alif dan SonaOne secara rasminya melancarkan album kolaborasi sulung mereka berjudul Detail. Album kolaborasi dua bintang rap dan penerbit ini menampilkan 15 buah lagu yang boleh dianggap sebagai sebuah mahakarya sonik.

Terdapat empat buah lagu Melayu dan sebelas buah lagu Inggeris kolaborasi antara mereka berdua di dalam album Detail ini. Single pertama mereka berjudul Obvious, diikuti single kedua mereka, sebuah lagu Melayu bertajuk Pun Boleh.



Pada majlis yang sama, Alif dan SonaOne turut melancarkan video muzik single ketiga mereka yang bertajuk Look Around. Selain daripada itu, showcase untuk para peminat mereka juga turut diadakan selepas majlis pelancaran album tersebut.

Menurut Alif, tiba masanya untuk dia menghasilkan lagu untuk dirinya sendiri. Sudah banyak mencipta lagu untuk penyanyi lain, dia tidak mahu terlalu over-produce dia bimbang akan burn out dan cepat jelak dengan gaya sendiri.



"Bila kita buat lagu untuk artis lain, mereka sudah ada konsep dan apa yang mereka mahukan, tetapi bila saya bekerjasama dengan SonaOne, semua itu tidak ada. Kita tidak ada tekanan, kita cuma berseronok untuk membuat sesuatu yang bagus," Kata Alif kepada Gempak.

Dari segi perancangan dirinya, selain daripada mencipta Alif juga ingin membuat persembahan dan tidak mahu peminat lupa bahawa dia juga merupakan seorang penghibur.

Ditanya kepada SonaOne adakah satu tekanan buat dirinya selepas memenangi lagu Inggeris Terbaik dua kali berturut-turut di Anugerah Industri Muzik (AIM), beliau hanya tersenyum.



"Lepas menang AIM, rasa macam tekanan tapi sebenarnya ia adalah pemikiran yang salah. Saya kembali kepada cara saya suka membuat muzik, cinta saya kepada muzik dan keseronokan menghasilkannya.

"Sebab itulah album ini sangat penting untuk saya dan Alif. Kita tidak pernah memikirkan bahawa lagu ini akan jadi single atau tidak, akan dimainkan di radio atau tidak. Ianya dihasilkan kerana cinta kami kepada muzik," jelas SonaOne kepada Gempak.

"Seperti tajuknya Detail, kami mengambil kira semua perkara dari sekecil-kecilnya yang membuat sesuatu lagu itu bagus, bukan hanya bergantung kepada suara sahaja," kata SonaOne dan dipersetujui oleh Alif.



Dari 40 buah lagu yang mereka cipta, mereka memilih 15 buah lagu yang dianggap terbaik daripada kelompok tersebut untuk dimasukkan ke dalam album Detail. Kesemua lagu di dalam album Detail adalah kolaborasi antara Alif dan SonaOne.

Album Detail kini boleh distrim dan di muat turun di semua platform digital.

Kredit Gambar: Badrul Hashim