Hiburan
“Dari 55 Kg Sampai 92 Kg Awak Tetap Sayang Kan?” Comelnya Ucapan Anniversary Isteri Zul Huzaimy
Isteri pelakon Zul Huzaimy, Nur Ernawati Mohamad melakarkan ucapan istimewa sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang kelima.
Nur Ernawati atau lebih mesra dengan panggilan Erna membuat coretan manis buat suami tersayang menerusi posting terbaru di akaun Instagramnya.
Menurut Erna, dia bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang penyayang.
“Selamat ulang tahun perkahwinan ke-5 @zulhuzaimy_m my love/sleeping partner/roommate. Terima kasih kerana selalu mengingatkan saya tentang pastinya ada keindahan selepas menempuhi sesuatu kesukaran.
“Terima kasih juga bagi anak-anak yang ‘comel’! (dari badan saya 55 kg sampai 92 kg awak tetap sayang dekat saya kan?)
“Dulu saya pernah tanya yang mana satu paling awak sayang, adakah saya atau anak-anak? Dan awak kata ada terlalu banyak kasih sayang yang ada dalam hati awak cukup untuk seluruh keluarga kita.
“Dan awak benar-benar buktikannya! Melimpah ruah kasih sayang awak dekat kami semua. 5 tahun perjalanan bersama dalam alam perkahwinan bukan masa yang singkat.
“Syukur dikurniakan suami sepertinya sayang! Semoga kita dipanjangkan umur dan diberi kesihatan yang baik untuk bersama hingga ke hari tua,” tulisnya.
Terdahulu, Zul dan Erna telah berkahwin pada Februari 2015. Hasil perkahwinan itu, pasangan ini dikurniakan dua cahaya mata Indah Armani dan Indra Arjuna.
Selain itu, Zul juga mempunyai seorang anak lelaki, Awal Haziq hasil perkahwinan terdahulu.