HIGHLIGHTS

Dari Alat Solek Pasar Malam, Upgrade Beli di Watsons, Akhirnya Mampu Masuk Sephora – Kisah Inspirasi MUA BELLAZ.

Afiza Kamarulzaman 11/03/2020 | 15:47 MYT
Kalau kamu peminat dunia solekan dan suka ‘mengintip’ media sosial jurusolek-jurusolek tempatan, pasti kenal wanita dari Tanjung Dawai, Kedah ini. Dia orang biasa – sangat biasa. Asal-usulnya tiada yang membanggakan. Kisah hidupnya juga tiada mencatatkan apa-apa sejarah. Tidak langsung berpendidikan tinggi, malah tiada siapa pun kenal kaum kerabatnya. Bukan selebriti mahupun artis. Tidak pernah ke akedemi solekan atau memanjat tangga universiti, namun satu yang Tuhan beri kepadanya; bakat luar biasa yang diasah menjadi pedang yang tajam!
Seketika sahaja penulis mengirimkan WhatsApp kepada pembantunya, Atikah mengusulkan hajat untuk menemubual Bella, segera dibalas pada ketika itu juga. Tidak sampai sehari, penulis dapat berbual dengannya. Seperti yang sudah dijangka, orangnya ‘super peramah’. Dengan loghat Kedahnya, perbualan kami bagaikan kawan karib yang sudah lama kenal. Bersahaja dan begitu jujur setiap jawapan yang terpacul daripada Bella atau nama sebenarnya Nor Nabila yang kini berusia 28 tahun. Jom, kenali siapa dia ini yang tiba-tiba viral dan menjadi ‘jurusolek segera’ yang berjaya meraih jutaan pengikut di media sosial hingga tercalon sebagai Influencer Meletop untuk Anugerah Meletop tahun ini.
Kredit Foto: IG Mua Bellaz
Khabarnya, Bella asalnya dari keluarga yang sangat susah dan ini bukan cerita rekaan untuk meraih simpati netizen?
Ya, susahnya kehidupan Bella dulu bukan susah yang biasa-biasa. Kesusahan yang umpama kais pagi makan pagi. Rumah pun tiada kelengkapan seperti dapur atau peti ais. Memasak pun masih menggunakan dapur kayu, percayalah! Bapa Bella orang Turki dan bekerja sebagai nelayan manakala emak orang Melayu dan tidak bekerja. Ada masanya bapa terpaksa ke pulau beberapa hari, maka selama itulah kami anak-beranak bercatu makan. Kalau setakat makan nasi dengan ikan kering, kicap atau telur goreng itu sudah menjadi kebiasaan. Bella anak ke empat daripada tujuh beradik tetapi anak perempuan sulung dalam keluarga. Selalunya anak perempuan ni rasa tanggungjawab dia lebih kuat walaupun ada abang-abang atas Bella. Jadi, Bella mengambil keputusan untuk bekerja sambil bersekolah. Kalau waktu persekolahan, Bella membantu di kedai makan pada sebelah petang dan malam. Apabila cuti, Bella akan buat dua jenis kerja sekaligus; bekerja di kedai ikan (tugas asing-asingkan ikan) dan di kedai makan. Dengan duit itulah dapat membantu keluarga. Susahnya Bella waktu sampaikan Bella pernah nak telefon rancangan Bersamamu untuk datang ke rumah Bella sebab Bella memang jenis tak malu mengaku diri ini susah dan kadang-kadang apabila melihat orang-orang yang dibantu dalam rancangan itu tidaklah sesusah keluarga Bella, rasanya macam tak adil, rumah mereka ada peti ais, televisyen. Hahaha...
Bella memutuskan untuk berkahwin pada usia muda, kenapa?
Kerana kesusahan keluarga dan Bella tidak mahu terus membebankan mak dan ayah. Apabila suami ajak kahwin, terus Bella setuju yakni pada usia Bella 20 tahun. Walaupun suami bukanlah orang senang, suami hanya bekerja sebagai runner di sebuah syarikat waktu itu, Bella tidak kisah. Dan, yang paling Bella happy sebab suami ada kereta Kancil, hahaha. Teringat dulu, masa kami baru bertunang, suami suruh Bella ajak adik-adik ikut keluar makan. Cerita ini sampai bila-bila Bella tak akan lupa. Selepas sudah sampai di kedai makan, Bella dan suami sudah pun turun dari kereta. Kemudian, tengok adik-adik masih belum turun. Apabila Bella tanya kenapa tak turun? Mereka kata tak tahu macam mana nak buka pintu kereta? Nah, punyalah kami ni miskin naik kereta pun tak pernah tau!
#MUA #Makeup By Bellaz #Mua Bellaz