Dari Bidang Sukan Ke Pentas Lakonan, PASKAL The Movie Perkenalkan Nama Theeban Govindasamy

Kamaruddin Razal
September 17, 2018 01:23 MYT
Nama Theeban Govindasamy tidak lagi asing dalam dunia sukan serta arena 'mixed martial arts' (MMA) di Malaysia.
Mewakili Malaysia dalam sukan karate, Theeban pernah merangkul dua pingat emas di Sukan Sea serta pernah bergelar juara Malaysian Invasion - Mixed Martial Arts 4 (MIMMA 4) dalam kategori welterweight.
Masih aktif dalam bidang tersebut, Theeban kini melangkah dalam bidang lakonan menerusi filem PASKAL The Movie.
"Sebenarnya, bukan mudah untuk beraksi dalam filem ini. Selain melakukan banyak babak aksi, saya juga perlu berlakon. Jika beraksi di pentas MIMMA, saya hanya perlu berlawan tetapi dalam filem, saya harus melakukan babak aksi dan berlakon pada masa yang sama.
"Agak sukar, tetapi saya merasakan ia sebagai satu pengalaman baru. Saya sangat berterima kasih kepada pengarah, Adrian Teh dan tenaga produksi serta pelakon lain yang banyak memberikan saya tunjuk ajar.
"Pengalaman baru ini sukar saya lupakan dan ia terlalu manis untuk dikenang. Saya berharap agar filem ini mendapat sambutan penonton," katanya.
Diadaptasikan dari kisah benar, PASKAL The Movie berkisarkan mengenai kisah kejayaan anggota elit Pasukan Khas Laut (PASKAL), Tentera Laut Diraja Malaysia dalam Misi Pengaman PBB di Angola pada 1998 dan misi merampas kapal dagang MT Bunga Laurel daripada lanun Somalia di Teluk Aden pada 2011.
Selain Theeban, filem itu dibintangi oleh Hairul Azreen, Ammar Alfian, Hafizul Kamal, Taufiq Hanafi, Gambit Saifullah, Henley Hii, Jasmine Suraya Chin dan ramai lagi.
Jangan lupa untuk menyaksikan filem ini yang bakal ditayangkan bermula 27 September ini!
Foto: Instagram Theeban
#Paskal #PASKAL The Movie #Theeban G