Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

"Dari Budak Nakal Sekarang Sudah Berkahwin" - Joe Flizzow Imbas Kisah Hidup Dalam Lagu Satu Malam Di Temasek

Amri Hassan
01/07/2022 10:25 MYT
Dalam sebuah industri yang tidak terjangka, Joe Flizzow nampaknya masih mempunyai sentuhan emas dalam setiap hentian, melewati kerjaya seni dan keperibadiannya.

Bermula sebagai salah seorang ahli kumpulan rap duo legenda Too Phat, beliau kini berjaya mencipta nama dan memegang gelaran sebagai penyanyi hip hop nombor satu negara. Malah beliau juga terkenal sebagai penerbit, pencipta lagu serta usahawan yang prolifik, dan sentiasa ingin memajukan dirinya.

Album solo sulungnya yang berjudul The President satu Ketika dahulu pernah merangkul anugerah Album Inggeris Tempatan Terbaik di acara Anugerah Industri Muzik (AIM) 2009. Kejayaan berterusan saat album Bahasa Malaysianya Havoc mencuri tempat pertama di carta iTunes Malaysia pada tahun 2013.

Walau sudah meraih pelbagai kejayaan namun dirinya masih belum ingin berhenti. Beliau kembali dengan sebuah lagi mahakarya berjudul SATU MALAM DI TEMASEK.

"SATU MALAM DI TEMASEK adalah satu karya yang bercerita mengenai diri saya, daripada seorang budak nakal dan sekarang sudah melalui fasa perkahwinan di samping bercerita mengenai situasi hari ini.

"Ia juga satu bentuk nasihat daripada diri saya kepada diri saya sendiri. Walaupun tunjang utamanya adalah mesej dan nasihat, pada masa sama, tetap meraikan kehidupan,” katanya.

SATU MALAM DI TEMASEK, merupakan sebuah karya yang sarat dengan lirik cerdik penuh kiasan dan sindiran nukilan Joe Flizzow yang pasti akan menaikkan lagi tanda aras irama hip hop Malaysia.

“Jika saya gambarkan karya ini dalam bentuk perumpamaan Melayu, perumpaan yang sesuai adalah hutang emas boleh dibayar, hutang budi dibawa mati.

“Segala yang kita kejar di dunia, yang bersifat material, semua itu tak boleh dibawa ke mana pun. SATU MALAM DI TEMASEK mengingatkan diri kita bahawa dunia itu hanya sementara,” katanya.

Lagu ini dicipta, ditulis dan diterbitkan sepenuhnya bersama rakan seperjuangannya yang sangat berbakat, SonaOne.

Dengan bait lirik Bahasa Inggeris berbunyi, “Imma be an hour late to my funeral” (Yang bermaksud “aku bakal lambat ke pengebumian ku sendiri”) oleh SonaOne di hook lagu tersebut, mencerminkan perjalanan Joe yang bercerita tentang perjuangannya mengharungi cabaran dan menata sejarah sendiri jika perlu.

Lagu ini juga diharap dapat menginspirasi mereka yang ingin mengejar impian dan cita-cita masing-masing.

Malam ini juga turut berlangsungnya SHOWCASE JOE FLIZZOW SATU MALAM DI TEMASEK, bertempat di The Bee, Publika. Meraikan kehangatan malam showcase itu, Joe tidak berseorangan, tetapi turut disertai bintang-bintang lain iaitu Yonnyboii, Gard, Pele L, Fuego dan ALYPH.

Memilih lokasi itu, Joe berkongsi bagaimana dia ingin membawa peminat-peminatnya untuk mengikuti perjalanannya ‘kembali ke masa lalu’, sekaligus mengimbau kenangan ketika zaman permulaannya bertapak dalam industri.

“Orang tanya, kenapa tak buat di lokasi yang lebih besar? Saya sebenarnya suka untuk mengimbau di mana permulaan saya. Bukanlah bererti lokasi ini secara spesifik menjadi tempat saya bermula, tetapi, secara simboliknya saya bermula dari lokasi yang kecil,” katanya.

SHOWCASE JOE FLIZZOW SATU MALAM DI TEMASEK dihangatkan dengan persembahan lagu-lagu popular antaranya Havoc, Baek, Kongsi, Jampi dan tentunya SATU MALAM DI TEMASEK di samping beberapa lagu lain bersama artis jemputan.

SATU MALAM DI TEMASEK kini boleh didapati di semua platform digital seperti Spotify, Apple Music, Joox, KKBOX, Deezer dan YouTube Music manakala video muziknya boleh ditonton di laman YouTube Joe Flizzow bermula 1 Julai 2022 jam 9 malam.


#Penyanyi #SonaOne #Joe Flizzow #rap #Singapura #Lagu #Satu Malam Di Temasek
;