Laman Utama
Dari Bukit Aman, ASP Wanita ‘Live’ TikTok Ketika Serbuan Ditukar Ke SUKSIS UiTM Johor
Pegawai polis wanita berpangkat Asisten Superintendan (ASP) yang membuat video secara langsung (live) di aplikasi TikToknya ketika melakukan serbuan di sebuah pusat hiburan ditukarkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor.
Wanita yang sedang bertugas sebagai ASP Operasi Urusetia, Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman ditukarkan ke Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) IPK Johor dengan menyandang tugas sebagai ASP Kor Sukarelawan Polis Siswa Siswi (Suksis) Universiti Teknologi Mara (UiTM) (INDUK).
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain mengesahkan arahan pertukaran pegawai kanan terbabit.
“Betul, dia ditukarkan ke IPK Johor dan perlu melaporkan diri pada hujung bulan Mei depan,” ujarnya ringkas ketika dihubungi.
Awal minggu ini, pegawai wanita yang bertugas di JSJN Bukit Aman dikecam selepas membuat rakaman video secara langsung menerusi aplikasi TikTok semasa menjalankan serbuan di sebuah pusat hiburan.
Menerusi video berdurasi satu minit 38 saat itu memaparkan wanita berpakaian jaket seragam operasi Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu menerangkan tanggungjawab kerja ketika menjalankan serbuan serta pemeriksaan.
Susulan daripada itu, Pengarah JSJN Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay memberi jaminan tindakan tegas akan diambil terhadap pegawai berkenaan tanpa memilih bulu dan pangkat.
Sumber: Kosmo Online