Hiburan
"Dari Kantoi Busuk..." - Payung Foto Seksi, Scha Elinnea Jadi Diri Sendiri
Pelakon baru, Scha Elinnea mengakui dia lebih selesa menjadi diri sendiri apabila berkongsi foto-foto berpenampilan seksi di laman Instagram.
Tidak mahu hipokrit, bintang muda dengan nama Azleena Natasha Mubeen itu juga tidak terkejut apabila foto-fotonya menjadi buah mulut orang.
"Itulah diri saya yang sebenar. Apa yang orang tengok di Instagram, begitu juga saya di luar. Lebih baik menjadi diri sendiri berbanding berpura-pura.
"Dari kantoi busuk.. Dalam Instagram lain, di luar lain, lagilah malu nanti! Tapi, saya tak terkejut bila ia menjadi buah mulut orang.
"Bagi saya, jangan menilai seseorang dari segi luaran sahaja. Kenali dulu siapa gerangan orangnya dan janganlah berburuk sangka," kata Scha.
Enggan peduli dengan kritikan yang diterima, gadis berusia 21 tahun ini tidak tertekan dengan komen-komen negatif yang diberikan netizen.
"Saya tak baca pun komen-komen netizen, sebab saya tak kenal pun siapa mereka. Kalau jumpa di luar pun, mereka tak ada pun cakap yang bukan-bukan.
"Selagi tak melampaui batas, saya tidak mahu mengendahkannya. Semua orang ada cara tersendiri, lebih baik buat hal masing-masing, kan lebih baik?" katanya lagi.
Scha ditemui di lokasi penggambaran drama bersiri 26 episod berjudul Juliet terbitan Zeel Productions yang bakal disiarkan di RTM.
Memegang watak Lily, Scha sekali lagi membawakan watak antagonis.
Naskhah Juliet mendapat sentuhan Datuk Ahmad Tarmimi Siregar selaku sutradara.
Juliet yang turut membariskan pelakon hebat lain seperti Redza Rosli, Rita Nadira, Rozita Che Wan, Haliza Misbun, Azza Elite, Sofia Ibrahim, Louisa Chong serta ramai lagi dan bakal ditayangkan sekitar September ini.
Must-Watch Video