Berita
"Dari Pagi Ke Malam Buat Panggilan Video" - Didi Astillah Buka Mulut Pasal Bella, Aliff Aziz
Pelakon Didi Astillah memaklumkan bahawa hubungan rumah tangga kakaknya, Bella Astillah dan penyanyi Aliff Aziz kini semakin menunjukkan perkembangan yang positif selepas mereka kembali rujuk.
Sebagai adik, menurut Didi, dia bersyukur melihat kehidupan kakaknya kini yang semakin bahagia lebih-lebih lagi apabila menerima kehadiran cahaya mata baru.
Bahkan, kata Didi, Aliff juga sentiasa berhubung setiap hari dengan Bella walaupun mereka kini terpaksa hidup berjauhan berikutan penutupan pintu sempadan negara memandangkan abang iparnya itu berada di negara kelahirannya, Singapura.
"Buat masa sekarang semuanya baik-baik sahaja. Ada perkembangan yang positif. Malah, mereka memang akan berhubung antara satu sama lagi.
"Dari pagi sampailah ke malam, sentiasa berhubung menerusi panggilan video. Bahkan, Abang Aliff pun selalu buat panggilan video call dengan anaknya, lagipun anak dia sedang nak membesar. Setakat ini, baik sahaja," katanya ketika ditemui Astro Gempak.
Menurut Didi lagi, biarpun Bella terpaksa melalui pelbagai dugaan sebelum ini, kakaknya itu tetap tabah dan cekal berdepan dengan segala hal yang mendatang.
"Dari zaman sekolah lagi Kak Bella memang jenis macam tu. Kalau bercinta memang satu sahaja.
"Dia pun memang seorang yang cekal, dengan adik-adik dia pun, dia selalu tunjuk yang baik, semua yang positif sahaja. Apa pun jadi kat diri dia, dia selalu bersabar," ceritanya.
Jelas Didi lagi, dia akui mereka berdua cukup rapat dan sering menjadi tempat mengadu antara satu sama lain.
"Kami tinggal serumah. Kalau cakap nak gaduh pun tak boleh lama, sekejap sahaja.
"Saya pun tak biasa kalau tak cakap dengan kakak. Apa-apa pun nak kena rujuk dengan dia. Bahkan, nak buat posting di Instagram pun tanya pandangan dia dulu okay ke tak..kami cukup rapat," ceritanya yang bakal muncul dengan drama Keluarga Pasar.
Sebelum ini Bella dan Aliff bercerai talak satu pada Mei tahun lalu sebelum mereka dilaporkan kembali rujuk bersama ketika masih dalam tempoh edah.
Pasangan itu kini dikurniakan dua cahaya mata, Ayden Adrean, 3, dan seorang lagi anak perempuan pada Sabtu lalu.