Laman Utama

Dari Penghibur Kelab Jadi Penyanyi Dengan Bayaran Mahal & Penampilan Eksentrik, Aina Abdul: “Saya Bukan Attention Seeker”

gempak
Maliah Surip
19/03/2022
04:55 MYT
Sponsor Banner
Dari Penghibur Kelab Jadi Penyanyi Dengan Bayaran Mahal & Penampilan Eksentrik, Aina Abdul: “Saya Bukan Attention Seeker”
Mendengar suaranya lemak merdu dengan bicara sopan tersusun di corong telefon, terbayang senyum mekar dan penampilan eksentrik penyanyi genit ini di atas pentas.
Aina Abdul, seringkas namanya, namun tidak pada setiap perincian karya yang dipersembahkan wanita ini.
Dalam setiap lagunya sarat makna, biar ia dibawa santai, rasanya sampai. Dan penampilan penampilan eksentrik yang kebelakangan ini menjadi buah mulut, tular malah diparodikan menjadikan Aina tersendiri.
Memang sengaja kata wanita kelahiran Negeri Sembilan ini, dia mencipta nilai eksentrik yang dipadu dengan seni kental miliknya.
Aina, 29, juga berbicara panjang tentang kemenangan, mahsyur, fesyen dan matlamatnya dalam industri seni tempatan dalam edisi #GempakTheUntoldStory kali ini.
Gempak: Definisi terbaik buat Aina, termasuk seperti Vokal Terbaik yang dianugerahkan menerusi anugerah berprestij Anugerah Juara Lagu (AJL) baru baru ini? Aina Abdul: Ia bermakna saya berjaya memikat hati juri dan berjaya juga memikat hati para pendengar dan paling penting berjaya memikat hati saya sendiri untuk berasa puas dengan nyanyian. Pemahaman saya mengenai Vokal Terbaik pula adalah pelajaran yang dipelajari mengenai vokal selama bertahun tahun dapat diaplikasi dalam nyanyian dan kemudian diiktiraf.
Gempak: Aina bukan pelaku seni baharu. Anda boleh diibaratkan sebagai pejuang tegar. Sebenarnya apa yang membuat anda bertahan. Dan jika pernah rasa lelah untuk berjuang atau rasa nak berhenti, bila? Aina Abdul: Pernah rasa lelah. Perasaan itu datang sebab dulu saya nyanyi di kelab malam dan apabila susah dapat lakukan persembahan di kelab kerana saya memakai tudung. Hal seperti itu buat saya rasa lelah dan give up. Sudahlah susah dapat peluang buat orang mendengar saya menyanyi dan apabila ada, kita tak dapat kerana bertudung.
Namun kekangan tersebut tidak dapat membunuh minat dan semangat saya. Saya tidak mahu berhenti. Saya juga tidak mahu bertudung atau berhijab menjadi satu kekangan dalam kerjaya saya.
Gempak: Jadi bila sebenarnya turning point buat Aina rasa ‘aku tak boleh mengalah jadi kena gempur terus’? Aina Abdul: Pada persembahan di pentas AJL34 menerusi lagu Sumpah. Bila saya putuskan dengan tim saya, di atas pentas besar itu saya mesti lakukan sesuatu seperti berpenampilan dengan baju merah seperti darah. Saya tahu malam itu sama ada orang akan kenal Aina atau masih ambil masa untuk kenal saya.
Saya juga sedar malam itu dalam 12 lagu, orang tak kenal Aina dan tak tahu lagu Sumpah ini wujud. Jadi saya menggunakan pentas yang besar ini sebagai permulaan memperkenalkan Aina Abdul sebab saya nak pastikan mereka terus kenal saya. Saya berikan semuanya pada malam itu. Saya memang kena beri persembahan sedemikian supaya orang kenal saya.
Gempak: Apakah hala tuju karya atau muzik Aina. Mengikut trend atau lebih kepada teori dan kemudian trend akan mengikut anda? Aina Abdul: Saya orang yang mengikut teori. Saya tak pandai ikut trend. Saya pun tidak muda lagi. Saya menulis mengikut emosi dan fesyen atau warna yang saya mahu ketengahkan.
Warna warna amat penting untuk saya. Seperti untuk lagu Sumpah, warnanya adalah Merah, Semalam adalah Hitam, Sepi ada dua warna iaitu Biru dan Gold. Jadi mengikut inilah terbina lagu. Saya suka seni dan rasa bila masukkan elemen seni dalam lagu, saya dapat menulis dengan lebih baik.
Gempak: Tentang penampilan eksentrik. Adakah penampilan eksentrik anda adalah escapism? Aina Abdul: Ya, inilah apa yang saya cuba ketengahkan dan saya rasa bila saya ketengahkan ia sebagai escapism, ia bukan untuk menjadi attention seeker. Saya rasa sesiapa sahaja yang masuk ke dalam dunia seni, sama ada berpenampilan biasa atau di luar kotak, kita tetap akan menjadi pusat perhatian. Ini adalah kerja kita dan kita tidak boleh lari daripadanya hanya kerana fesyen kita simple atau extra.
Untuk saya semestinya cuba untuk ketengahkan fesyen eksentrik saya di setiap persembahan yang besar, tapi untuk persembahan private show misalnya penampilan saya akan sedikit tone down, kerana kita menyanyi untuk klien. Kadang kadang kena fikir apa yang klien suka dan selesa untuk mereka.
Namun sekiranya ia persembahan milik saya, saya akan pergi kepada perkara (fesyen) yang sesuai dengan lagu saya, yang ada maksud tersirat dan yang boleh memberi definisi Aina Abdul kerana di gelanggang seperti ini sahaja kita boleh ‘melepaskan’ sesuatu.
Gempak: Adakah anda berasa penampilan eksentrik yang ditampilkan menambah nilai atau sifat kreatif seorang pelaku seni? Dan sehingga kini adakah anda semakin selesa biarpun banyak parodi dibuat? Aina Abdul: Saya gembira walaupun banyak parodi yang mungkin buat orang ketawa atau mungkin bersifat seni, saya terima kedua duanya. Dan saya sangat gembira dengan setiap apa yang saya lakukan, orang beri maklum balas. Inilah yang saya perlukan. Jika tak ada orang beri feedback, saya akan tertanya tanya kerana benda ini tak menjadi bualan orang. Jadi saya kena bekerja lebih keras dengan tim untuk memastikan tampil menerusi sesuatu yang lebih baik.
Gempak: Mungkin ada penampilan yang anda rasa ia gagal teruk ataupun semuanya memuaskan seperti yang direncana? Aina Abdul: Ada penampilan yang kami rancang lain, jadinya lain. Boleh saya katakan, semua pun ikut rencana, tapi bila masuk ke badan Aina Abdul, saya ini manusia biasa. Ada masa saya rasa badan saya kurus, ada masa saya rasa badan berisi. Tapi look yang saya rasa brand add, AJL 34, color block. Mungkin di badan model cantik, tapi di badan saya, ya (ketawa).
Gempak: Ini mungkin rumors. Aina dikatakan antara penyanyi yang menerima bayaran termahal buat masa ini. Betul? Aina Abdul: Rate nyanyian persembahan Aina Abdul ditentukan oleh pengurus saya, mungkin boleh tanya dia. Tapi untuk menjawab soalan ini, saya bersetuju dengan pengurus kerana saya tidak datang hanya berdua, tapi kami datang satu kampung wak. Sekumpulan. Saya datang dengan saya punya stylist, hijab stylist dan terbaharu ini saya juga datang dengan soundman, PA dan pengurus.
Saya perlukan bayaran untuk diri sendiri, tapi untuk membayar pekerja-pekerja saya. Saya kena bayar usaha staf staf saya dengan setimpal atau best. Jadi mereka akan terus dan ingin bekerja dengan saya. Setakat ini saya happy, bukan bayaran pun tinggi sangat untuk saya. Tapi ia berbaloi dan masih boleh dibayar.
Gempak: Boleh kongsikan mengenai soal bayaran - bukan kerana tamak atau perlu dibayar mahal kerana popular tetapi lebih kepada ini adalah pekerjaan yang sesuai dibayar dengan harga sedemikian? Aina Abdul: Saya tidak tamak atau popular. Tapi ia tentang mutu kerja yang kita bagi. Kadang ada tawaran yang saya dapat dibayar dengan lebih tinggi kerana lagu-lagu yang mahu dipersembahkan mungkin lebih banyak dinyanyikan atau agak sukar.
Dan saya banyak menyanyikan lagu-lagu tinggi. Saya tak pernah diskaun dari segi nyanyian. Tak kisahlah saya nyanyi di persembahan kecil atau AJL misalnya, saya tetap menyanyi seperti sedang berada di pentas besar. Saya cuba memberi sebuah persembahan yang membuat klien ingat dan gembira. Supaya pada masa akan datang, mereka akan mahu terus menggunakan khidmat saya. Sebab itu saya tidak pernah diskaun nyanyian saya, jadi mungkin kerana itu, pengurus meletakkan harga harga yang sesuai untuk Aina Abdul.
Gempak: Bagaimana Aina melihat kekuatan media sosial. Sebab banyak juga lagu-lagu anda atau cover song yang buat anda dipercakapkan sampai ke Korea Selatan? Aina Abdul: Sangat kuat. Saya akui saya tak pandai dan agak lewat memasuki dunia ini. Tapi kekuatan sosial media dapat bantu saya. Orang kenal saya melalui fesyen, lagu-lagu dan cover song saya.
Ini tiga kompenan yang ada dalam Aina Abdul. Jadi sosial media buat ia tersebar luas. Dulu saya susah sebab kena keluar jumpa orang tapi sekarang orang kenal saya melalui sosial media. Saya sangat bersyukur kerana kerja saya dipercakapkan, kerja saya diperbualkan, diberi komen, lagi-lagi melalui reaksi di YouTube. Saya rasa benda ini sangat sihat. Saya gembira.
Gempak: Takut tak baca komen warganet. Sebab kadang pujian itu ujian dan kritikan juga sama? Aina Abdul: Saya takut. Saya ingat saya diberi soalan ini beberapa bulan lepas saya jawab tidak kisah. Tapi sebenarnya saya menipu diri saya sendiri sebab saya rasa saya sangat takut. Benda ini saya tak boleh nak jangka. Bila saya baca, saya boleh terima, kemudian bila saya baca, saya pun boleh depress.
Terutama selepas AJL, saya memang tak buka telefon. Saya hanya muat naik apa yang saya mahu dan kemudian saya akan tutup sosial media. Sebabnya, saya tak berapa kuat untuk membaca. Saya sejenis yang kadang kadang kata komen itu membina, tapi saya pula jenis orang yang boleh ada banyak pendapat dan akan interpretasikan ia secara kasar atau mungkin ia punya maksud lain.
Ya, saya tahu ia tidak sihat untuk saya, jadi saya cuba elak. Kadang-kadang kalau komen baik pun, saya kurang nak baca sebab saya takut dengan pujian juga. Kadang-kadang pujian juga boleh menjadi racun untuk saya. Saya akan fikir saya bagus. Saya elak pujian dan kritikan. Jika saya terbaca, saya akan cuba untuk move on.
Gempak: Bagaimana Aina menjaga kesihatan mental dengan keadaan sekarang, kritikan terbuka di media sosial dan sebagai seorang public figure walhal anda juga manusia biasa? Aina Abdul: Saya sekarang adalah tidak membaca apa-apa jenis komen pilihan ini untuk protect minda saya. So mekanisme saya sekarang adalah lebihkan bersenam. Aktiviti ini buat saya lebih tenang dan buat minda saya lapang. Dan ia membuat saya tidak ‘melekat’ pada telefon. Memang menjadi anak seni agak susah untuk elak, tapi saya kurangkan ia untuk kesihatan mental saya.
Gempak: Boleh mengurus Anxiety dan depresi dengan baik? Aina Abdul: Bila Anxiety atau Depresi ganggu, saya akan ke gim untuk workout. Kalau tak ada masa nak workout, saya tidak tengok kerja. Saya tengok benda yang tak ada kena mengena dengan kerja.
Saya juga akan memasak, tengok movie atau bercucuk tanam. Ini tips terbaik. Jangan buka sosial media, jangan buka Instagram. Kadang bila kita buka, tak sengaja melihat orang lain, ia juga akan memberi kesan kepada kita.
Gempak: Okay Aina. Apa sahaja projek selepas ini. Mungkin lagu kerohanian untuk Ramadan, atau lagu sempena Aidilfitri. Mungkin ada projek duet? Aina Abdul: Ya, saya akan muncul dengan lagu ketuhanan sempena Ramadan ini dan ada juga lagu Raya. Ia akan muncul bersama muzik video untuk tatapan peminat.
Kemudian akan ada konsert A Night With Aina Abdul 2.0 selepas Aidilfitri. Saya tak sabar menantikan persembahan ini kerana mahu mengadakan ia dengan lebih baik, lebih besar dan menyanyi lebih banyak lagu dari persembahan A Night With Aina 1.0. Saya tidak sabar untuk menerima lebih banyak penggemar ikut serta dalam persembahan ini berbanding sebelumnya.
Dan setelah itu, saya juga akan usahakan projek single atau lagu untuk peminat.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live