Tahniah buat atlet paralimpik negara, Ziyad Zolkefli di atas prestasi yang luar biasa sehingga memecahkan rekod dunia dalam acara lontar peluru F20 semalam.

Bagaimanapun pingat emas yang sepatutnya diterima Ziyad telah ‘dirampas’ sekelip mata susulan terdapat protes daripada atlet Ukraine yang mendakwa tiga atlet, Ziyad, Todd Hodgetts (Australia) dan Jordi Patricio (Ecuador) tiba lewat di bilik menunggu sebelum pertandingan dimulakan.

Ekoran perkara itu, status Ziyad bersama dua atlet berkenaan dilabelkan sebagai did not start (DNS), menyebabkan pingat emas yang dimenangi Ziyad, termasuk rekod dunia baharu, 17.94m dibatalkan.

Sebagai rakyat Malaysia, biarpun diumumkan pembatalan namun usaha, rekod dunia dan kejayaan Ziyad tetap membanggakan negara.

Kejayaan Ziyad juga boleh dijadikan motivasi kepada ibu bapa dan keluarga yang mempunyai anak-anak istimewa.

Berikut merupakan fakta tentang atlet kebanggaan negara, Muhammad Ziyad Zolkefli:

1. Berusia 26 tahun, Ziyad menghidap masalah pembelajaran (intellectual impairment) dan ia dikenal pasti ketika beliau berada di bangku tadika.

2. Ziyad merupakan anak sulung daripada empat beradik.

3. Menurut portal Paralympik, Ziyad mula menceburi sukan ini sejak tahun 2008. Ia merupakan satu acara sukan yang wajib di sekolahnya.

4. Ziyad membuat kemunculan pertama dalam Kejohahan Paralimpik di London pada tahun 2012, dan ketika itu beliau berjaya memenangi pingat gangsa.

5. Ziyad kemudiannya mencipta sejarah apabila mencatatkan 15.23m terbaik untuk memenangi pingat emas pada Kejohanan Jawatankuasa Atlet Dunia (PARC) Paralimpik Antarabangsa (IPC) pertama di Perancis.

6. Selepas kemenangannya dalam Kejohanan Dunia 2013, Ziyad diiktirafkan sebagai Atlet Paralimpik Negara Terbaik bagi tahun 2013 oleh Anugerah Sukan Negara.

7. Pada Sukan Paralimpik musim panas Rio 2016, beliau mewakili Malaysia sekali lagi dan memenangi pingat emas.

8. Ziyad juga turut mencipta rekod dunia baru dalam acara tersebut dengan catatan 16.84 meter sekali gus memadamkan rekod sebelum ini yang dicatat atlet Australia, Todd Hodgetts (16.29 meter) di Paralimpik London 2012.

9. Menurut ayahnya, Zolkefli, sebelum Ziyad menyertai Majlis Sukan Negara, beliau menjual Kuetiau di Jalan Tuanku Abdul Rahman.

10. Anak sulung daripada empat beradik ini sememangnya meminati sukan sejak zaman sekolah rendah.

Untuk info: F20 merujuk kepada atlet yang diletakkan dalam kategori menghadapi masalah pembelajaran.


Sumber: Facebook Public Health Malaysia, Wikipedia, Awani, Malaysia Kini

Kredit foto: Majlis Sukan Negara Malaysia