Siapa sangka dari bekas Menteri Pendidikan, kini Dr. Maszlee Malik muncul sebagai pelakon cameo dalam drama Astro Original Series, Kudeta yang sedang ditayangkan di Astro Ria dan Astro Go.

Maszlee, 49, yang membawakan watak sebagai Jamal Banna bekas Perdana Menteri (PM) yang dipenjarakan atas tuduhan jenayah telah berkongsi pengalamannya berlakon dalam Kudeta.

Menurut Maszlee beliau telah menerima banyak tunjuk ajar dari pelakon utamanya, Vanidah Imran untuk membawakan watak Jamal.

“Sebenarnya saya terima tawaran ini kerana saya suka mencuba perkara yang baru dan apabila diberi peluang ini saya tidak melepaskannya

“Sudah tentu saya terima, bukan senang orang nak beri kita kelas lakonan secara percuma sedangkan bayarannya mahal jika di luar.

“Penggambaran dilakukan pada awal tahun 2022 dan ketika itu saya mendapat tunjuk ajar daripada semua pelakon- pelakon hebat dalam Kudeta terutama Vanidah.

“Vanidah banyak mengajar saya untuk hidupkan karektor ini. Dia asyik pesan kepada saya bahawa saya bukan lagi Maszlee tetapi Jamal.

“Saya memang amat berterima kasih kepada Vanidah dan semua kru,” katanya.

Maszlee berkongsi pengalamannya berlakon dalam Kudeta selepas diundang dalam temu bual dalam episod baru Chun Wai’s Youtiube Channel yang disiarkan pada 4 Januari, semalam.

Menerusi temu bual itu Chun Wai menemuramah Maszlee bagaimana dia beralih dari seorang ahli polilitik kepada seorang pelakon.

Selain itu, Chun Wai juga turut bertanyakan Maszlee tentang pembabitannya dalam bidang politik selepas tidak lagi menjadi Menteri Pendidikan.

Sebelum Kudeta, Maszlee pernah muncul dalam Taruh satu filem pendek yang diinspirasikan dari siri popular Korea, Squid Game.

Kudeta merupakan sebuah drama yang bertemakan thriller politik dan menyaksikan Mariam Imran lakonan Vanidah Imran diangkat sebagai Perdana Menteri wanita pertama dan mempertahankan kerajaan yang goyah.

Selain Vanidah, Kudeta yang turut dibintangi oleh Aedy Ashraf telah ditayangkan setiap hari Ahad di saluran Astro Ria jam 9 malam atau menerusi On Demand dan Astro Go.