Hiburan
Dari @pu_rizz Jadi @hrisbismail, PU Riz Tukar Nama Instagram Sebab ...
Bintang filem Ada Apa Dengan Dosa, PU Riz atau nama sebenarnya Haris Ismail terpaksa menukar nama akaun Instagramnya demi mendapatkan tanda verified untuk media sosialnya itu.
Jelas Riz, 25, penukaran nama Instagramnya bukan disebabkan perkara lain atau kontroversi yang pernah terpalit sebelum ini.
"Saya ada membuat permohonan kepada Instagram untuk menggunakan gelaran PU (Pencetus Ummah) di akaun media sosial tetapi mereka gagal.
"Sebaliknya, saya dikehendaki untuk menggunakan nama yang sama dengan kad pengenalan. Jadi, bila tukar-tukar tiba-tiba dapat dengan nama @hrisbismail.
"Saya tukar nama bukan sebab kecaman, tak ada apa sangat pun. Kalau saya tukar macam mana sekali pun, orang tetap kenal saya juga," katanya kepada Gempak.
Jelas Riz, tugasnya sebagai pelakon dan figura awam lebih mudah dan diperakui seandainya akaun media sosialnya punyai tanda verified.
"Sebagai pelakon sedikit sebanyak perlu tanda verified itu cuma tak menjadi prioriti pun.
"Saya masih menulis keterangan diri saya di profile akaun Instagram saya biarpun nama sudah bertukar.
"Ia tak menjadikan saya orang lain pun, saya masih sama cuma nakkan tanda verified itu untuk kerja dan posting Instagram sahaja," jelasnya.
Sementara itu, Riz kini muncul dalam filem terbaharu Ada Apa Dengan Dosa yang sudah mula ditayangkan sejak 4 Jun lalu.
Ada Apa Dengan Dosa mengisahkan kehidupan seorang gadis yang dibesarkan dalam keluarga freethinker bernama Aurora (Wanna Ali) yang mendapat tahu identiti sebenarnya dari keluarga beragama Islam.
Lebih mengejutkan apabila Aurora adalah seorang anak luar nikah hasil daripada keterlanjuran perbuatan seorang pendakwah dan ibu kandungnya.
Kesannya, Aurora hampir membunuh diri namun kehidupannya berubah selepas bertemu dengan Khalik (PU Riz).
Filem terbitan Pencil Pictures & Records itu dibintangi Ashraf Muslim, Wanna Ali, Fasha Sandha, PU Riz, Adam Corrie dan Fauziah Nawi.
Ada Apa Dengan Dosa telah mula ditayangkan di saluran Astro First (480) sejak 4 Jun.
Dengan hanya RM15, penonton boleh menonton Ada Apa Dengan Dosa selama 48 jam (2 hari) secara berulang-ulang.
Untuk mendapatkan info terkini mengenai filem Ada Apa Dengan Dosa, sila layari Instagram, Facebook dan Twitter Astro Shaw.