Hiburan
Daripada Crush Jadi Suami, Yuna Kongsi Foto Pertama Bersama Adam Sinclair
Penyanyi Malaysia bertaraf antarabangsa Yuna berkongsi foto pertama yang diambil bersama suami tercinta, Adam Yousof Mohamed Sinclair pada tahun 2012.
Menerusi laman sosial Instagram, Yuna atau nama sebenarnya Yunalis Mat Zarai, 34, memuat naik beberapa keping foto bersama Adam sejak mula berputik rasa suka sehinggalah kini bergelar suami isteri.
“Perkenalan pertama kita adalah pada tahun 2012 dimana kita berhubung. Dua tahun kemudian kita bertemu lagi dan saya tanya bila kita nak pegi minum kopi.
“Saya suka bekerja dengan awak, ibu bapa dan teman-teman saya suka awak.
“Alhamdulillah, semoga tahun 2020 hidup kita lebih diberkati. Foto terakhir adalah foto pertama kita ketika sesi fotografi Samsung. Saya sangat malu sampai tak tahu nak posing macam mana sebab saya sangat suka pada awak,” tulis Yuna panjang lebar di ruangan kapsyen.
Di samping berkongsi perkenalan pertama, Yuna turut melahirkan ucapan penghargaan kepada suaminya di atas sokongan yang tidak pernah putus.
Menjengah ruangan komen, rata-rata rakan selebriti dan pengikut turut sama tersentuh dengan perkongsian Yuna dan berharap pasangan ini akan kekal bersama selamanya.
Entri terbaru Yuna dan suaminya itu sehingga kini telah menerima 40,000 tanda suka daripada pengikutnya.
Sekadar info, Yuna dan Adam, 36, disatukan pada 26 Januari 2018 dalam sebuah majlis di Puncak Rimba, Bentong, Pahang.
Pasangan yang melangsungkan pernikahan berlatarbelakangkan hutan semulajadi ini bakal menyambut ulang tahun perkahwinan kedua mereka tidak lama lagi.