Pelakon Indonesia, Dennis Adhiswara mendedahkan dia dapat mendalami watak Mamet dalam ruang sendiri untuk filem Milly & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga).

Menurut Dennis, sebelum ini dia hanyalah seorang pemandu dalam filem Ada Apa Dengan Cinta.

"Sebelum ini, saya hanya seorang pemandu yang mendapat dialog minimum sahaja.

"Banyak peningkatan saya untuk filem Milley & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga).

"Ketika pertama kali saya melakonkan watak ini, saya dapat untuk mendalami watak dalam ruang saya sendiri," katanya kepada Gempak.

Dennis ditemui ketika sidang media filem Miley & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) di One Utama, baru-baru ini.

Tambah pelakon Ada Apa Dengan Cinta 2 ini, dia pernah mempersoalkan kepada penerbit kenapa Milly & Mamet perlu berkahwin dalam filem tersebut.

"Secara jujurnya, pada tiga tahun yang lepas saya pernah bertanya kepada penerbit, kenapa Milly dan Mamet perlu berkahwin dalam Ada Apa Dengan Cinta 2.

"Saya terfikir kenapa ia perlu terjadi dan selepas mendapat penerangan secara mendalam, baru saya fahami.

"Apa yang kita boleh lihat, setiap watak dalam filem ini mempunyai impian tersendiri dan akan menunjukkan bagaimana kehidupan realiti mengubah segalanya," katanya lagi.

Selain Dennis, antara barisan pelakon yang turut membintangi filem itu adalah Sissy Priscillia, Ernest Prakasa, Julie Estelle, Yoshi Sudarso, Dian Sastrowardoyo dan ramai lagi.

Filem Milley & Mamet (Ini Bukan Cinta & Rangga) ditayangkan di pawagam bermula hari ini, 7 Mac.

Jom, dapatkan tiket anda sekarang dan sama-sama saksikan di pawagam yang berdekatan!