HIBURAN

Darren Wang Ditahan Atas Dakwaan Kes Cubaan Membunuh

Asyraf Roslan 06/03/2025 | 13:55 MYT

Pelakon, Darren Wang sedang disiasat berhubung dakwaan terlibat dalam satu kes cubaan membunuh.

Penahanan tersebut dibuat beberapa minggu selepas aktor berusia 33 tahun itu disoal siasat kerana cuba mengelak daripada menjalani perkhidmatan ketenteraan wajib.
Menurut laporan media Taiwan, semasa siasatan dilakukan keatasnya berhubung kes mengelak menjalani perkhidmatan ketenteraan pihak pendakwa telah menemui mesej dalam telefon bimbit Wang yang menunjukkan dia bermegah-megah tentang penglibatannya dalam serangan terhadap seorang pemandu perkhidmatan e-hailing.

Insiden ini bermula pada April 2024 apabila Wang dikatakan telah menempah sebuah kenderaan perkhidmatan e-hailing.

Bagaimanapun, sebaik sahaja kenderaan tersebut tiba, dia dilaporkan tidak berpuas hati dengan kualiti kenderaan berkenaan dan mendakwa pemandu tersebut telah mengambil laluan yang tidak perlu sepanjang perjalanan, sehingga mencetuskan pertengkaran antara mereka.

Selepas insiden itu, Wang dikatakan telah menceritakan kejadian tersebut kepada seorang rakannya. Rakan tersebut kemudiannya mendapatkan bantuan seorang lagi individu untuk menjejaki dan menyerang pemandu berkenaan.

Menurut laporan media Set News Taiwan, sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan Wang telah menyerang pemandu tersebut pada 25 April 2024.

Mereka bukan sahaja mencederakan pemandu itu, malah turut merakamkan video mangsa yang cedera sebelum melaporkan kejayaan serangan tersebut kepada Wang. Pelakon itu kemudiannya didakwa berbangga dengan kejadian itu dan menceritakannya kepada rakan-rakan yang lain.

Berikutan penemuan mesej berkaitan insiden ini, pihak polis telah menahan Wang bersama seorang lagi individu yang dikenali sebagai Yu.

Polis juga mencadangkan pertuduhan cubaan membunuh terhadap mereka.

#Kes pukul #Darren Wang