BERITA

Darsa Fried Chicken Puncak Alam Mohon Maaf Laung Azan Maghrib 3 Minit Awal

Mya Amri 27/03/2025 | 22:44 MYT
Darsa Fried Chicken (DFC) Puncak Alam memohon maaf kepada pelanggannya susulan kesilapan laungan azan maghrib.

Mohon maaf azan awal

Kejadian tersebut berlaku pada pukul 7.26 malam, 17 Mac sedangkan waktu sebenar di kawasan Kuala Selangor adalah pada pukul 7.29 malam.
Menerusi kenyataan rasmi yang dikongsikan di Facebook pada Jumaat, pihaknya mengambil maklum bahawa kesilapan itu telah menyebabkan pelanggan mereka berbuka puasa lebih awal dari waktu sepatutnya.

“Kami dengan penuh rasa tanggungjawab memohon maaf atas kekhilafan ini dan amat menghargai kesedaran serta keprihatinan pelanggan yang telah memaklumkan perkara ini kepada kami.

“Sehubungan itu, kami menasihatkan pelanggan yang telah berbuka pada waktu tersebut untuk menggantikan (qada) puasa bagi mematuhi hukum syarak,” jelasnya.

Pastikan kejadian tidak berulang

Pihak pengurusan juga telah mengambil langkah pembetulan bagi memastikan perkara itu tidak berulang, termasuk menyemak dan menyelaraskan waktu azan dengan jadual rasmi solat.

“Kami menghargai kepercayaan anda terhadap Darsa Punca Alam dan berkomitmen untuk memberikan pengalaman terbaik kepada semua pelanggan.

“Segala kesulitan amat dikesali dan kami berterima kasih atas pemahaman serta sokongan anda,” maklum kenyataan itu.
Memo tersebut telah dimuat naik menerusi Facebook Darsa Fried Chicken pada 19 Mac lalu dan kemudian dikongsikan semula pada hari ini.
#Ramadan #Mohon Maaf #Azan #Puasa #Darsa Fried Chicken