Darul Quran Ittifaqiyah Tahfiz Anak Saya, Umar Nail – Rizalman Terkesan Dengan Tragedi Kebakaran Tahfiz

Fiza Kamarudin
September 14, 2017 08:12 MYT
Pereka fesyen terkenal, Datuk Rizalman Ibrahim berkongsi rasa sayunya tentang tragedi kebakaran Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah, Kampung Dato Keramat pagi tadi.
Rizalman telah memuat naik dua posting di akaun media sosial Instagramnya kira-kira pukul 8 pagi dan 2 petang hari ini.
Menerusi entri pertamanya, Rizalman telah memuat naik foto tahfiz tersebut dan memberitahu di situlah tempat anaknya, Umar Nail sebelum melanjutkan pelajaran ke tempat lain.
Rizalman turut mengucapkan takziah kepada seluruh kaum keluarga anak-anak tahfiz yang terlibat.
Posting kedua pereka fesyen yang juga pakar hiasan dalaman ini lebih emosi apabila beliau memberitahu terkesan dengan tragedi menimpa penghuni Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah.
Tambahan lagi katanya, ada di antara anak-anak tahfiz sudah menjadi sahabat Umar Nail dan bergelar anak-anak angkatnya.
Anak-anak itu jugalah yang sentiasa memenuhi undangan beliau ketika meraikan apa-apa majlis tidak kira di pejabat atau rumah termasuk sambutan ulangtahun kelahirannya tahun lepas.
“Kekayaan doa-doa mereka yang mereka sampaikan pada Allah pada saya dan keluarga, ketulusan hati mereka, wajah-wajah suci mereka, pengorbanan zaman remaja menuntut ilmu Allah melalui Al Quran, perasaan hormat mereka ketika mencium tangan saya setiap kali berjumpa dan berpisah terasa dingin syurganya.
“Kepada ustaz @yusufdqi yang telah berkorban menjaga kebajikan anak-anak ini hingga ke akhir hayat beliau, saya hanya mampu berdoa. Kepada ibu bapa anak-anak ini, Allah telah memilih anda sebagai tetamunya di syurga bermula dari sekarang kerana anda adalah yg terpilih mempunyai jiwa yang kental untuk melalui dugaan ini,” tulisnya.

Foto: Instagram @rizalman71

#Berita #Kebakaran Tahfiz #Datuk Rizalman Ibrahim