Penyanyi dan komposer Zynakal didenda RM2,800 di Mahkamah Majistret Ampang kerana mencederakan pekerja stesen minyak dan menghalang polis daripada menjalankan tugas.

Memetik laporan Harian Metro, Majistret Mohamad Firdaus Sadina Ali menjatuhkan hukuman itu terhadap pemilik nama sebenarnya Muhammad Raziq Rosli, 21, selepas tertuduh mengaku salah ke atas kedua-dua pertuduhan itu.

Bagi kesalahan mendatangkan kecederaan, Zynakal didenda RM800 dan bagi pertuduhan menghalang penjawat awam, dia didenda RM2,000.

Bakal berdepan hukuman penjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda, tertuduh telah membayar denda itu.

Mengikut pertuduhan, Zynakal didakwa mendatangkan kecederaan terhadap pekerja stesen minyak warga Bangladesh, Ahmad Mostakdi stesen minyak di Pandan Prima, Ampang pada jam 3 petang, 28 Ogos lalu.

Pendakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun atau denda atau kedua-duanya.

Tertuduh juga turut didakwa dengan sengaja menghalang anggota polis dengan tidak menunjukkan kad pengenalannya bagi tujuan pemeriksaan di tempat sama pada jam 3.30 petang hari yang sama.

Bagi pertuduhan itu, Zynakal didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda maksimum RM10,000 atau kedua-duanya.

Terdahulu, tertuduh yang tidak diwakili peguam memohon dikenakan hukuman denda yang rendah, dengan alasan tidak mempunyai pendapatan tetap dan hanya bekerja sebagai penulis lirik dan komposer.

Timbalan Pendakwa Raya, S Sangitaa bagaimanapun memohon mahkamah memberikan hukuman setimpal bagi memberi pengajaran kepada tertuduh.

Sumber: Harian Metro