Layan Gempak Non-Stop Live hari ini selama 12 jam! Kumpul kata kunci & menang hadiah menarik di sini
Hiburan

Datuk Hattan Akui Turun Ego Kerana Juara Parodi

Ahmad Shah 18/01/2016 | 02:08 MYT
Datuk Hattan mengaku tidak lagi serius dan semakin bersikap terbuka sejak menyertai program #JuaraParodi.

Menurut Hattan, dia mengambil masa dua minggu untuk mewujudkan keserasian dengan ahli kumpulannya sendiri, Ajak Shiro.

“Saya sebenarnya suka apabila berada di kalangan para pelawak kerana mereka tidak beri sebarang tekanan. Masuk minggu kedua saya mula bersikap terbuka dan layan kerenah Ajak apabila berada di atas pentas,” katanya kepada Astro Gempak.

Bagaimanapun dia sedikit terkilan apabila dua kumpulan iaitu Black Dot Chey dan Mawi and The Loyar tidak berjaya ke pentas akhir.

“Sebenarnya saya sedih apabila dua kumpulan tidak berjaya melangkah ke pentas akhir. Kalau boleh saya nak kesemua tujuh kumpulan layak sebab saya tak pernah fikir soal kemenangan pun. Saya ini hanya ‘Feeder’ untuk ajak sahaja,” ujarnya.

Mengulas lanjut mengenai Juara Parodi, Hattan percaya program ini diterima ramai kerana penyanyi dan pelawak menyampaikan mesej berguna dalam setiap lagu yang dibawakan.

“Program Juara Parodi memang sesuatu yang baru buat saya dan penonton. Tetapi kalau kita perasan walaupun kita berlawak dengan memparodikan lagu, di penghujung lagu pasti ada mesej berguna dan sangat jelas yang cuba ingin disampaikan,” tambahnya.

Juara Parodi menyaksikan lima kumpulan iaitu Juri, Abang Face, Righthanded, Kobis Pedas dan Selambur Blur berjaya mara ke peringkat akhir yang akan berlangsung pada 22 Januari ini.

#JuaraParodi diterajui oleh Najip Ali dan Dina Nadzir selaku pengacara manakala Zainal Abidin dan Afdlin Shauki bertindak selaku juri tetap. #JuaraParodi bersiaran secara langsung di Teater Shah Alam, pada setiap Jumaat, jam 10.00 malam di saluran Astro Warna (132) dan Astro Mustika HD (134) bermula 6 November 2015.

Teks oleh: Khalid Rahman

#Dato' Hattan #Juara Parodi
;