Datuk Nassier Wahab Meninggal Dunia

Fiza Kamarudin
Disember 4, 2019 17:51 MYT
Penyanyi Datuk Nassier Wahab, 57, meninggal dunia kira-kira jam 12.45 pagi Khamis di Pusat Pakar Universiti Malaya (UMSC), Petaling Jaya.
Berita duka tersebut dikongsi rakan karib Allahyarham, Zur Eda yang juga penyanyi era 80-an menerusi perkongsian di aplikasi Whatsapp.
“Innalillahi-wainnaillah-hirojiun...Dukacita dimaklumkan Datuk Haji Nassier Wahab baru sahaja menghembuskan nafasnya terakhir pada pukul 12.45 pagi di UMSC.
“Mohon sama-sama kita sedekahkan Al-Fatihah dan kita doakan semoga roh Allahyarham ditempatkan bersama roh para solihin,” tulisnya ringkas.
Namun ketika dihubungi, Zur Eda memberitahu sedang dalam perjalanan ke hospital.
Pada 1 Jun lalu, Nassier pernah menjalani pembedahan membuang ketumbuhan pada rahang kiri, dan memberitahu keadaanya semakin pulih.
Difahamkan ketumbuhan tersebut mula dikesan selepas Nassier menjalani prosedur mencabut gigi, beberapa tahun lalu.
Terdahulu, Nassier pada April tahun lalu pernah dimasukkan ke hospital untuk menjalani pembedahan membuang kelenjar dan ketumbuhan pada leher.
Allahyarham pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza (GV) musim kedua pada tahun 2015, dan menduduki tempat keempat.
#Meninggal Dunia #Nassier Wahab