Datuk Red Yakin Masih Ada Sinar Dalam Rumah Tangga - “Saya Cuba Untuk Memujuk Dia Sebab…”
Asyikin Mayudin
06/03/2024 09:55 MYT
06/03/2024 09:55 MYT
Suami kepada penyanyi Adira Suhaimi iaitu Datuk Seri Adnan berasa yakin bahawa dia masih mempunyai peluang untuk menyelamatkan perkahwinan mereka daripada berakhir dengan perceraian.
BERITA TRENDING: Madu Turut Fail Cerai, Ini Respon Adira Suhaimi…
Menurut Adnan atau mesra disapa sebagai Datuk Red, dia mempunyai masa untuk memujuk isterinya sebelum menjelang tarikh proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April depan.
“Apa yang saya lihat pada Adira, dalam hatinya masih ada lagi untuk saya. Tapi mungkin perwatakan kali ini berbeza sebab kadang-kadang perempuan ini dah lebih limit, matang dan ada usaha sendiri, jadi dia nampak boleh berdikari.
“Saya cuba juga untuk memujuk dia sebab ada masa lagi sehingga bulan April. Insya-Allah dapatlah kami beraya bersama. Kami juga masih duduk satu rumah, dia juga yang gosokkan baju saya datang ke mahkamah.
“Sebab itu saya masih rasa ada peluang lagi, anak-anak pun sangat rapat dengan saya. Kalau Adira sibuk, saya yang akan menguruskan anak-anak,” katanya kepada Gempak.
Adnan berkata demikian sejurus selesai mendengar laporan Jawatankuasa Pendamai (JKP) yang berlangsung di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Timur, pada Selasa.
Bagaimanapun proses tersebut gagal menemui jalan penyelesaian dan mahkamah melanjutkan kepada proses Hakam yang akan berlangsung pada 24 April 2024.
Dalam pada itu, Adnan berkata dia masih menyayangi Adira memandangkan mereka sudah membina rumah tangga bersama selama lapan tahun.
“Saya kenal dia, orang lain tak nampak. Adik-beradik pun tak kenal rapat dengan dia. Saya dah dengan dia lapan tahun, gila lah kalau saya tak sayang dia lagi.
“Macam saya cakap sebelum ini, bukan dugaan tapi balasan. Kadang-kadang kita jadi suami, sebenarnya macam ibarat lilin tapi saya macam duri pula. Semuanya demi anak-anak saya buat,” ujarnya.
Terdahulu, pada 25 Oktober tahun lalu, Adira telah memfailkan perceraian ke atas suaminya di Mahkamah Rendah Syariah Gombak Barat Rawang, Selangor kerana tiada persefahaman.
Untuk rekod, Adira pernah memfailkan perceraian pada tahun 2019 namun menarik semula permohonan tersebut demi anak-anak.
Imbas kembali, Adira dan Datuk Red berkahwin di Songkhla, Thailand pada 3 Disember 2015 sebagai isteri kedua.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan empat orang cahaya mata iaitu Anggrek, 6, Asan, 5, Anggun, 4 dan Ayob yang kini berusia setahun.
Dalam pada itu, perkahwinan Datuk Red bersama isteri pertamanya iaitu Datin Red mempunyai lima orang cahaya mata.