Hiburan
Datuk Seri Vida Kemukakan Saman Malu Terhadap Azwan Ali
Usahawan kosmetik Datuk Seri Vida atau DSV mengemukakan saman malu terhadap selebriti Azwan Ali.
Tindakan tersebut dibuat selepas Azwan melakukan penghinaan terhadap dirinya dan anak iaitu Cik B atau Edlynn Zamilleen Muhammad Amin.
Selain itu saman juga dikemukakan kerana Azwan telah menghina kematian dua anak lelaki DSV yang meninggal dunia dalam kejadian kebakaran beberapa tahun lalu.
DSV ketika ditemui pada majlis sidang medianya hari ini berkata Azwan juga telah melakukan penghinaan dengan membakar barangan pemberiannya.
“Saya beri barangan tersebut ikhlas kepada dia, tetapi tindakan dia membakar barangan tersebut seperti telah membakar maruah saya juga.
“Barang yang saya bagi ialah sehelai selendang Sorga Tudung Dato’ Seri Vida, dua botol minyak wangi DSV Signature dan minyak wangi Hero dimana kesemua barangan tersebut bernilai ratusan ringgit,” katanya kesal.
Tuntutan saman tersebut turut meminta Azwan membuat permohonan maaf secara terbuka atas segala penghinaan terhadap DSV dan anak-anaknya.
“Tragedi yang meragut nyawa dua anak saya merupakan kenangan yang paling pahit dan sedih bagi saya.
“Ia juga telah memberikan impak yang besar dalam kehidupan saya dimana setelah tragedi tersebut saya menjadi murung dan tertekan selama beberapa bulan.
“Saya kemukakan saman malu terhadap Azwan kerana dia telah menyentuh isu sensitif yang berkaitan dengan fizikal anak saya Cik B dan tragedi hitam yang berlaku pada kedua-dua anak lelaki saya, saya tidak akan berdiam diri.
“Walaupun keadaan fizikal anak saya sebegitu sekalipun, tiada siapa berhak untuk mencela fizikal orang lain.
“Ini bukan soal meraih publisiti atau mencari duit lebih melalui saman ganti rugi malu tapi lebih kepada mengajar warganet supaya lebih berhati-hati dalam penggunaan internet,” ujarnya.
Sehubungan itu dikehendaki membuat permohonan maaf secara terbuka dan membuat permohonan maaf dalam media serta menandatangan surat akuan terbuka untuk menarik balik kenyataan dan video-video yang telah dimuatnaik ke laman sosial.