Sultan Johor Sultan Ibrahim Sultan Iskandar bertitah baginda akan memasak sendiri makanan popular, bubur lambuk untuk diedarkan kepada para petugas barisan hadapan sempena bulan Ramadan.

Menerusi entri terbaru yang dimuat naik di laman Facebook Sultan Ibrahim, baginda bertitah juadah tersebut juga akan diedarkan termasuklah kepada petugas barisan hadapan yang menjalankan tugas mereka di sekatan jalan raya di beberapa lokasi.

"Hari ini, saya membuat 'dry run' memasak Bubur Lambuk. In Shaa Allah pada Ramadan ini, kita akan edarkannya kepada pasukan petugas barisan hadapan dan juga mereka yang terlibat dalam penugasan sekatan jalan raya di beberapa lokasi.

"Saya sendiri akan memasak Bubur Lambuk ini, In Shaa Allah juga rasanya pasti akan sedap," titah Baginda Tuanku Sultan kepada Royal Press Office (RPO) semalam (23 April).

Berangkat sama, DYMM Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah Binti Almarhum Sultan Idris Shah.

DYMM Sultan Johor juga meluangkan masa selama hampir sejam memasak Bubur Lambuk di Istana Pasir Pelangi, Johor Bahru.

Dalam pada itu menerusi ruangan komen, rata-rata pengikut Facebook berkenaan mengucapkan setinggi-tinggi terima kasih kepada DYMM Sultan Johor.

“Alhamdulillah…. Menjunjung kasih Tuanku, bertuah dan beruntung petugas-petugas barisan hadapan, bilalah kami dapat merasa air tangan Tuanku pula. Semoga dipermudahkan segala urusan, semoga bertambahtambah rezeki serta di kurniakan kesihatan. Selamat menyambut bulan Ramadan Tuanku serta Keluarga Diraja Johor,” tulis Norlida Omar

“Syukur… Alhamdullilah akan dijadikan suntikan semangat bagi barisan frontliner kita. Allah peliharakan Sultan,” komen Allis Ibrahim