Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

David & Victoria Beckham Disyaki Positif COVID-19 Selepas Berparti Di Los Angeles?

Azwa Rahman
08/09/2020 17:47 MYT
Bintang bola sepak England, David Beckham dan isterinya Victoria disyaki telah dijangkiti virus COVID-19 selepas berparti di Los Angeles (LA), California pada Mac lalu.

Memetik laporan portal berita MailOnline, bekas pemain bola sepak yang berusia 45 tahun dan isterinya,46 tahun berasa bimbang apabila mereka dianggap penyebar utama COVID-19.

Hal ini adalah kerana kakitangan mereka turut dijangkiti pandemik itu selepas terbang ke beberapa buah negara selama dua minggu dengan menggunakan pesawat bersama dengan anak-anak mereka.

Keluarga Beckham menaiki kapal terbang dari LA ke United Kingdom bagi menyambut ulang tahun kelahiran ke-21 tahun anak lelakinya, Brooklyn di Cotswolds pada 4 Mac lalu.

Mereka kemudian menaiki pesawat untuk kembali ke Amerika Syarikat pada 11 Mac lalu menjelang pelancaran kelab bola sepak baharu Beckham, Inter Miami di Florida dan terbang semula ke Cotswolds pada 19 Mac lepas sebelum perintah berkurung dikuatkuasakan.

Wujud dakwaan bahawa Beckham mula berasa tidak sihat ketika berada di Miami dan isterinya mengalami sakit tekak serta suhu badannya yang tinggi.

Satu sumber dalaman pula menyatakan pasangan itu menghadiri dua majlis kerana Beckham mempunyai tugas promosi dan kemudiannya berjabat tangan serta mencium para peminat.

Keluarga Beckham kemudian menghabiskan masa dengan berkuarantin di rumah besar mereka di kawasan desa Cotswolds.

Selepas pulih daripada COVID-19, Victoria dan Beckham menjalani ujian antibodi dan swab bagi memastikan mereka tidak lagi mempunyai virus itu sebelum terbang untuk pergi bercuti di Greece dan Itali.

Sementara itu, wakil Beckham ketika dihubungi MailOnline enggan memberikan sebarang komen.


Sumber: Sinar Harian


#David Beckham #Victoria Beckham #COVID-19
;