Biarpun berdepan dengan banyak kekangan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menangani penularan wabak Covid-19, ia sedikit pun tidak menghalang sebahagian penggiat industri muzik untuk terus berkarya.

Terbaharu, seramai 26 orang penyanyi berpadu suara menjayakan sebuah lagu berjudul Sentiasa Di Sini.

Lagu yang diterbitkan oleh Astro Gempak itu menampilkan nama-nama besar antaranya Dayang Nurfaizah, Faizal Tahir, Noh Hujan, Marsha, Naim Daniel, Ernie Zakri, Syamel, Ara Johari, NJWA dan Azlan Typewriter.

Bukan itu sahaja, karya tersebut turut dijayakan penyanyi Imran Ajmain, Mimi One Nation Emcee, Ali Masdo, Kashika, Nicole Lai, Masya Masyitah, Putera Muhammad, Usop, Dinda, Jacqueline, Danny Ah Boy, Nehsan Selvaraj, Umairah, Yoyo, Xavier dan EL Ceria Popstar.

Lagu berdurasi 3 minit 46 saat itu dihasilkan oleh komposer terkenal, AG Coco selain ditulis liriknya oleh Noh Hujan.

Menariknya, lagu tersebut menceritakan kisah dan pengorbanan yang dilalui oleh kita semua dalam berdepan dengan segala cabaran, lebih-lebih lagi ketika negara dilanda ancaman wabak Covid-19.

Bahkan, lebih mengujakan apabila orang ramai berpeluang menyaksikan sendiri muzik video lagu tersebut yang turut diterbitkan secara rasmi hari ini di saluran Youtube, Astro Gempak.

Jadi, sambil-sambil duduk di rumah, apa kata jom kita layan sama-sama lagu yang cukup bermakna ini buat kita semua sebagai rakyat Malaysia.




Apapun, pastikan anda selalu mencuci tangan, pakai topeng muka, gunakan 'sanitizer', kurangkan aktiviti di luar rumah serta lakukan semua perkara yang boleh mencegah COVID-19!