HIBURAN
Dayang Nurfaizah Tak Nafi, Tak Sahkan Sedang Mengenali Seseorang - “Kalau Ada Berita Baik Saya Akan Kongsikan…”
Penyanyi, Dayang Nurfaizah tampil mengulas mengenai spekulasi yang mendakwa dirinya kini sedang mengenali seseorang secara rapat.
Meskipun enggan mengesahkan secara jelas, Dayang atau nama sebenarnya Wan Nurfaizah Wan Ismail, 43, tidak menolak kemungkinan sedang mengenali seseorang, namun menyerahkan soal jodoh sepenuhnya kepada ketentuan Ilahi.
“Saya tak nafikan, tidak juga mengiyakan sedang mengenali seseorang.
“Soal jodoh ini jawapan memang klise, saya serahkan kepada Allah SWT. Semoga dapat yang terbaik,” katanya ditemui pada majlis sidang media Konsert MeleTOP TVS di Astro, Bukit Jalil.
Mengulas lanjut mengenai impiannya untuk mendirikan rumah tangga, pelantun lagu Lelaki Teragung itu tidak menafikan bahawa dirinya juga menyimpan hasrat seperti wanita lain.
“Perempuan mana yang tidak ingin menamatkan zaman bujang, saya juga idamkan perkara yang sama.
“Cuma karier saya tidak mengizinkan, tapi untuk masa depan saya doakan sahaja yang baik-baik,” ujarnya.
Ketika ditanya sama ada dirinya kini berada dalam fasa bahagia, Dayang hanya menzahirkan rasa syukur terhadap kehidupan yang dimilikinya kini.
“Saya sentiasa bahagia dan bersyukur, doakan saya. Kalau ada berita baik, saya akan kongsikan. Jangan risau,” kongsinya lagi.
Terdahulu, Dayang pernah terpalit dengan gosip yang mengaitkan dirinya dengan seorang penyanyi lelaki popular dan dikatakan bakal mengikat tali pertunangan.
Namun begitu, penyanyi lelaki terbabit tampil menafikan spekulasi itu dan menjelaskan bahawa hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar teman biasa.
Mnerusi perkembangan lain, Dayang akan membuat kemunculan dalam Konsert MeleTOP TVS yang bakal berlangsund di Stadium Tertutup Miri, Sarawak pada 17 Mei ini.
Selain Dayang, konsert berprestij itu turut menampilkan barisan selebriti hebat seperti Hael Husaini, Nadeera Zaini, Mimi Fly, Marsha Milan, Hafiz Suip, Stacy, Floor 88 & Namie, DOLLA, Sada Borneo, Dion Das, Francisca Luhong, dan ramai lagi.
Konsert ini akan dikendalikan oleh gabungan pengacara popular dari MeleTOP dan TVS termasuk Nabil Ahmad, Sherry Alhadad, Hawa Rizwana, Ghaz Zawawi, Cheryl Toh dan Fattah Bolh.