Biografi kontroversi milik Putera Harry berjudul Spare menjadi naskhah paling hangat dan ‘dikejar’ peminat sebaik ia dilancarkan di kedai kedai buku seluruh London, semalam, lapor BBC.

Peminat dilaporkan sanggup berbaris panjang sebaik ia dilancarkan pada tengah malam dan mengatakan tidak sabar membaca keseluruhan isi biografi tersebut.

Jualan biografi tersebut dipercayai laris dan menjadi buruan selepas Harry mendedahkan insiden dipukul abangnya, Putera William yang juga mencerca isterinya, Meghan Markle.

Tidak cukup dengan itu, Harry juga membuat pendedahan berani mati dengan menceritakan telah hilang teruna pada usia 17 tahun dan mula menjalin banyak hubungan dengan wanita lebih tua daripadanya.

Malah dia juga dikritik selepas mengaku telah membunuh seramai 25 orang Taliban.

Selain itu, beberapa pengisian lain turut bocor di Sepanyol dipercayai menjadikan Spare biografi paling dikehendaki masa kini.

Malah syarikat Waterstone juga mendakwa Spare menjadi buku biografi paling tinggi tempahan awal dalam sedekad ini.

Terdahulu, biografi dengan 16 bahasa ini sudah menduduki carta pertama jualan secara atas talian Amazon di United Kingdom.

Ia mengandungi sebanyak 410 halaman, dengan Harry berbagi pengalaman dan traumanya sepanjang hidup dalam keluarga Diraja Britain selepas kematian ibunya, Puteri Diana.

Meski Harry telah mendedahkan banyak ‘rahsia’ dan kontroversi, pihak Istana Buckingham dan Istana Kensington belum mengeluarkan sebarang kenyataan rasmi terhadap dakwaan yang dibuat.