Dedah Pengalaman Housemanship, Suami Ummi Nazeera Pernah Kerja Tanpa Cuti Selama 4 Bulan

Syafiqah Jalal
Disember 27, 2019 12:39 MYT
Suami kepada pelakon Ummi Nazeera, Dr. Izzar Anwari mendedahkan dia pernah bekerja tanpa cuti selama empat bulan berturut-turut ketika menjalani latihan ‘Housemanship’ (HO).
Bagaimanapun, Dr. Izzar bersyukur kerana selama dia menjalani latihan tersebut, segala urusan kerjanya dipermudahkan.
“Masa saya HO dulu pernah saya kerja tanpa off day atau cuti selama empat bulan berturut-turut. Bila ada cuti pun hanya seminggu sekali sahaja. Hari cuti guna untuk tidur je.
“Alhamdulillah saya dulu ada kawan-kawan HO yang saling memahami. Boss-boss pun sangat supportive. Matron, nurse dan MA pun senang nak kerja dengan mereka,” tulisnya.
Izzar berkongsi pengalaman tersebut di akaun Instagram miliknya.
Tambah Izzar lagi, dia selalu berharap agar sistem untuk HO di Malaysia lebih baik pada tahun hadapan.
“Saya selalu berharap agar sistem latihan HO akan diperbaiki dari segi bebanan kerja dan kualiti kehidupan.
“Saya berdoa agar kehidupan adik-adik HO sekarang dan yang akan baru berkhidmat tahun hadapan akan lebih baik.
“Diharapkan cabaran dan dugaan adik-adik akan menjadikan korang doktor-doktor yang lebih baik untuk rakyat Malaysia. InsyaAllah. Bersabarlah,” katanya.
Izzar mendirikan rumah tangga dengan Ummi pada 23 Julai 2017.
Pasangan itu dikurniakan seorang cahaya mata Ayra Aneesa yang berusia setahun.