Polis menahan seorang lelaki berumur 47 tahun semalam, kerana dipercayai menganjurkan majlis pertunangan dan dihadiri lebih 20 orang di Kampung Baru Selamat ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Ahad lepas.

Ketua Polis Labuan Supt Ahmad Jawila berkata lelaki itu ditahan pada 8.30 malam setelah polis menerima rakaman video berdurasi 14 saat mengenai majlis itu yang tular dalam media sosial.

"Berdasarkan maklumat awam, kami menahan lelaki itu kerana mengadakan majlis pertunangan semasa PKP dan boleh dipenjara hingga enam bulan atau denda atau kedua-duanya," katanya kepada pemberita di Balai Polis Labuan semalam.

Ahmad berkata lelaki terbabit disiasat kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP) PKP iaitu kesalahan di bawah Seksyen 260 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988.

Sementara itu, beliau berkata polis Labuan merampas 16 motosikal kerana pelbagai kesalahan termasuk mengubah suai ekzos, tiada insurans dan lesen semasa Op Samseng Jalanan pada 15 Mei lepas.

"Kami turut mengeluarkan 55 saman atas pelbagai kesalahan dan menahan seorang lelaki berumur 20 tahun kerana menunggang motosikal dengan berbahaya dan membuat aksi 'wheelie', kes disiasat di bawah Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.