“Dekat 50 Kali Jugalah Edit” - Pertama Kali Mengarah, Cat Farish Akui Banyak Kali Ubah Filem Marabahaya Underground

Izwan Isa
November 30, 2021 14:20 MYT
Pertama kali duduk di kerusi sutradara, penyanyi, pelakon dan produser Cat Farish mendedahkan yang filem arahannya, Marabahaya Underground telah melalui proses suntingan sebanyak 50 kali.
Hal ini disebabkan oleh pertukaran pengarah selain mahu memperbaiki jalan cerita Marabahaya Underground agar dapat memberi kepuasan maksima buat penonton.
“Pada asalnya, filem ini diarahkan oleh Helmi Yusof. Namun, disebabkan hal-hal yang tidak dapat dielakkan, saya terpaksa mengambil alih peranan pengarah dan meneruskan sesi penggambaran.
“Begitupun, disebabkan kedatangan pandemik, Marabahaya Underground yang sepatutnya ditayangkan pada penghujung 2019 atau awal 2020 terpaksa ditangguhkan. Justeru, saya ambil kesempatan berkenaan untuk menambah baik jalan cerita plot filem.
“Berkat sokongan dan sedikit ilmu yang pernah saya timba bersama Ahmad Idham dulu, saya berjaya selesaikan filem ini,” ujar Cat kepada Gempak.
Dalam masa yang sama, Cat juga memberitahu yang antara sebab dia mahu meneruskan proses pengarahan adalah kerana dana-dana persendirian yang telah dilaburkan oleh banyak pihak dalam filem ini.
“Kos pembikinan filem ini sekitar RM2 juta dan ia datang daripada beberapa pihak termasuk Finas. Jadi, mahu atau tidak saya tetap kena teruskan,” katanya jujur.
Marabahaya Underground mengisahkan tentang Chon (Hazama) peminat sukan permotoran dan sangat mengidolakan Shah Dhani (Joey Daud), iaitu seorang raja drift Malaya. Namun, Shah Dhani juga merupakan seorang yang banyak hutang dan kaki judi.
Shah Dhani menggunakan Chon untuk melepaskan dirinya daripada hutang dan berjanji untuk menjadikan Chon anak didiknya dalam dunia ‘drift’ di Malaysia. Shah Dhani yang berhutang dgn Dotty (Jasmin Suraya) terpaksa melibatkan Chon di dalam kancah pekerjaan penghantaran duit dan barang terlarang tanpa pengetahuan Chon.
Pelakon-pelakon lain yang turut menghiasi filem terbitan produksi D’edge Communication ini adalah Santesh Kumar, Dayana Roza, Scha Elinnea dan Amzarul.
Manakala bagi penampilan istimewa seperti, wajah-wajah popular seperti Wahid Senario, Hamdan Senario, Amir Raja Lawak, Zalif Sidek serta Pelumba Supercar Negara, Zen Low, Pelumba Kereta Negara, Keifli Othman, Drifter Negara, Jian Hui Wong, dan Pelumba Rally Negara, Faizal Alang turut menghiasi Marabahaya Underground.
Filem Marabahaya Underground boleh mula ditonton di saluran Astro First bermula 2 Disember ini.
#Cat Farish #Pengarah #Marabahaya Underground