Vokalis kumpulan Bunkface, Sam mengakui peminat cilik memainkan peranan penting kepada mereka untuk kekal relevan dalam industri muzik sejak 13 tahun lalu.

Menurut Sam, strategi yang digunakan mereka itu dilihat berjaya mengekalkan nama Bunkface sehingga kini dalam tempoh masa yang lama.

"Alhamdulillah bukan mudah untuk kami berdiri sebagai kumpulan sejak ditubuhkan pada tahun 2005.

"Rahsia kami bertahan adalah dengan menambat hati peminat kanak-kanak dan menghasilkan lagu yang memberi mesej untuk menyuntik semangat, selain bertemakan cinta.

"Memang sejak dulu, peminat kecil menjadi sasaran utama kami dan strategi itu ternyata berjaya mengekalkan nama Bunkface sehingga hari ini.

"Kami mahu mereka ini membesar dengan lagu kami dan apabila mereka meningkat dewasa, kami cuba pula mendekati kelompok peminat generasi baharu pula," katanya kepada Astro Gempak.

Sam berkata demikian ketika ditemui ketika majlis sidang media Raikan Hari Lahir Boboiboy di Pejabat Kemajuan Negeri Perak, Oasis Ara Damansara, Petaling Jaya, baru-baru ini.

Bunkface bakal menghiburkan peminat sempena meraihkan hari lahir animasi bersiri, Boboiboy pada 24 Mac depan di Movie Animation Park Studios (MAPS) Ipoh.

Sepanjang cuti sekolah bermula dari 17 hingga 25 Mac depan pelbagai aktiviti menarik telah diaturkan oleh MAPS untuk para pengunjung selain persembahan daripada artis terkenal, Ruffedge, Altimet, Joe Flizzow dan Sonaone.