Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Delen Telemovie Pertama Arahan Janna Nick – “Saya Bersedia Terima Kritikan…”

Fiza Kamarudin
13/02/2021 08:30 MYT
Pelakon popular Janna Nick mengakui berdebar dengan tayangan telemovie Delen dan terbuka menerima kritikan.

Janna ketika dihubungi berkata, dia bersikap terbuka dalam menerima pandangan dan kritikan daripada penonton untuk memperbaiki dan meningkatkan lagi kualiti karyanya pada masa akan datang.

“Saya sudah bersedia untuk menerima kritikan dan pandangan daripada penonton. Saya terbuka dan tidak kisah dengan ‘feedback’ yang bakal diberikan nanti.

“Bagi saya, samada ia positif mahupun negatif itu sangat membantu saya untuk meningkatkan lagi kualiti karya dan memperbaiki hasil kerja pada masa akan datang.

“Delen adalah buah tangan pertama syarikat saya, meskipun sudah cuba memberikan yang terbaik dan saya akan terus belajar,” katanya positif.

Tambah Janna lagi, Delen merupakan pembukaan untuk dia melangkah lebih jauh dalam bidang penerbitan dan pengarahan.

“Sudah 10 tahun saya dalam dunia seni, jadi sudah tiba masanya untuk saya meneroka dengan lebih jauh.

“Untuk Delen saya memilih genre romantik komedi untuk disajikan kepada penonton kerana jalan ceritanya lebih mudah dihadam penonton.

“Saya juga sudah menyiapkan karya terbaru berjudul Jeti dan telemovie itu fokus saya 100% kepada pengarahan sahaja.

“Genre juga lebih berat dan penuh emosi yang menggandingkan pelakon hebat Fauziah Nawi dan Nabila Huda.

“Namun, apa yang boleh saya katakana bila sudah terbabit dalam bidang pengarahan dan penerbitan, banyak pelajaran dan pengalaman baru yang saya timba.

“Saya melihat dunia hiburan dengan lebih serius dan dalam perspektif yang lebih besar,” katanya.

Selain Janna, telemovie Delen yang bakal disiarkan di Astro Citra jam 9 malam ini turut menampilkan barisan pelakon hebat tanah air seperti Sean Lee, Sherry Al Hadad, Mark Adam, Joey, Dini Schatzmann, Norreen Iman dan ramai lagi.

Delen memaparkan kisah percintaan remaja sekolah. Delen seorang remaja yang mencuba sedaya upayanya untuk memikat hati Emily.

Namun kehadiran pelakar baru yang berperwatakan menarik serta kacak telah menjadi penghalang usaha Delen itu.
Atas bantuan kak Jenny (Sherry) selaku penasihat cinta Delen mula bersaing dengan Robert untuk menjadi lelaki yang terbaik untuk Emily.

Walaupun Robert memiliki rupa paras yang sangat kacak dan menjadi kegilaan ramai gadis di situ Robert tetap merasakan Delen sebagai pencabarnya.

Terjadilah pelbagai peristiwa dan pertandingan untuk membuktikan siapakah lelaki paling layak untuk memiliki Emily.
#Janna Nick #Astro Citra #Delen
;