Hiburan
De'Meises Lamar Shiha Zikir Kerana Populariti Di Indonesia
Band dari Indonesia, De' Meises akui memilih penyanyi Shiha Zikir untuk berduet bersama mereka dalam single Jangan Bilang Siapa Siapa kerana populariti yang mendadak penyanyi tersebut di tanah air mereka.
Gitaris kumpulan tersebut iaitu Messi berkata dia berbesar hati apabila diberi peluang untuk berkolaborasi pertama kali dengan penyanyi dari Malaysia.
"Pada awalnya kami tak terfikir hendak berduet kerana lagu ini sebenarnya bukan lagu duet dan ia sudah dimuatkan dalam album pertama kami.
"Namun kami telah mendapat padangan daripada pihak pengurusan Warner Music Indonesia yang mahu kami berduet dengan artis dari Malaysia untuk kembangkan karier kami dan mereka mencadangkan nama Shiha.
"Kami amat berbesar hati kerana Shiha adalah penyanyi Malaysia yang sedang popular di Indonesia selepas menyertai pertandingan D'Academy Asia 2 tahun lalu," katanya kepada Astro Gempak.
Messi dan tiga orang ahli kumpulan De' Meises yang lain iaitu Iman (vokalis), Neno (Bass) dan Riza (Drum) ditemui sempena pelancaran single tersebut di pusat membeli belah NU Sentral, Jummat lalu.
De'Meises sebelum ini popular dengan lagu Dengarlah Bintang Hatiku dan Biar Saja.
Sementara itu, Shiha yang ditemui pula memberitahu kolaborasi tersebut ibarat merelisasikan impiannya yang mahu tembusi pasaran luar.
"Saya tidak menolak ketika menerima lamaran untuk berduet dengan mereka kerana memang selama ini impian saya mahu tembusi pasaran luar seperti Indonesia.
"Malah saya tidak pernah terfikir selepas tamat pertandingan realiti yang saya sertai di negara mereka telah memberi peluang saya kembangkan bakat seni saya di sana," katanya.
Jangan Bilang Siapa Siapa bagaimanapun telah dilancarkan terdahulu di Indoesia pada dua bulan lalu.
Teks oleh: Syafiqah Jalal
Must-Watch Video