Aktres Nina Iskandar menyatakan dia belum bersara daripada industri lakonan yang diceburinya sejak tahun 2011.

Menurut Nina, 29, dia terpaksa menunda perancangan untuk kembali aktif di kaca televisyen memandangkan pandemik Covid-19 di Malaysia belum reda.

"Mesti tertanya-tanya kenapa saya tak aktif di Instagram (IG)? Ramai yang tanya saya dah bersara ke dari dunia seni? Apa saya buat sekarang?

"Saya belum bersara daripada dunia lakonan tapi disebabkan saya balik Brunei untuk melahirkan anak saya pada Disember lalu.

"Saya rancang untuk kembali ke Malaysia dan mula berlakon semula lepas habis pantang tapi Covid-19 terjadi. Benda ini kita tak boleh jangka.

"Keadaan dekat sini (Brunei) alhamdulillah dah stabil. Cuma kalau nak balik ke Malaysia agak leceh kerana banyak prosedur yang perlu diikuti," katanya.

Dalam pada itu, pelakon drama Andainya Takdir 2 mengakui berasa takut dengan keselamatan anaknya, Muhammad Aaryan ar-Rizqin yang masih kecil.

"Sebenarnya saya takut juga nak balik Malaysia sebab saya ada baby. Macam yang diketahui, masih ada kes baru di Malaysia jadi saya pilih untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

"Takut la bila saya dah bekerja dan anak lelaki saya tinggal di Brunei tetiba jadi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

"Saya dah tak boleh balik ke sana. Saya tunggu sampai keadaan betul-betul stabil dulu," katanya lagi.

Nina yang mendirikan rumah tangga dengan penolong pengarah drama, Mohd Azlan Adzanan pada April 2019 dikurniakan cahaya mata sulung, Muhammad Aaryan ar-Rizqin yang kini berusia sembilan bulan.