Hiburan
Demi Papa Ricky, Elizad Sharifuddin Tolak Tawaran Lakonan
Pelakon jelita Siti Elizad Sharifuddin menolak tawaran lakonan lain kerana ingin memberikan komitmen sepenuhnya terhadap drama bersiri Papa Ricky.
“Buat masa sekarang, jadual lakonan saya hanya tertumpu drama bersiri Papa Ricky. Drama bersiri tersebut bersiaran selama 80 episod. Kini, penggambaran sudah berlangsung sehingga episod ke 40. Penggambaran akan terus berjalan dan akan selesai pada Mei ini.
“Sejujurnya, saya sendiri tidak boleh buat dua atau tiga kerja satu masa, saya lebih gemar untuk memberikan sepenuh fokus terhadap watak yang saya jayakan.
“Jika ada tawaran untuk menghadiri acara-acara hiburan yang tidak bercanggah dengan jadual penggambaran, saya akan memenuhinya,” kata Elizad kepada Astro Gempak.
Dalam pada itu, Elizad juga tidak ralat untuk menolak tawaran lain kerana kecintaannya dalam bidang lakonan.
“Sejujurnya, saya tidak rasa ralat kerana jiwa saya memang cintakan bidang lakonan. Jika naskah hebat seperti Papa Ricky diberikan kepada saya, saya akan melakukan sehabis baik.
“Saya cintakan apa yang saya buat, jadi saya akan memberikan sepenuh usaha untuk menjayakan watak tersebut. Biar fokus kepada satu kerja agar lakonan saya memberi kesan terhadap orang lain yang menontonnya,” katanya lagi.
Drama bersiri Papa Ricky lakonan Elizad bersama Fadlan Hazim, Ewal, Hafizul Kamal dan ramai lagi ini bersiaran setiap Isnin hingga Jumaat, jam 6 petang di Astro Prima (saluran 105) dan Maya HD (saluran 135).
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Must-Watch Video