,
Berita

Demi Pendidikan Berkualiti, Caliph Academy, USSB Meterai MoU Kerjasama Strategik

Amri Hassan
11/08/2024
13:41 MYT
Caliph Academy memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan UTM Space Sdn. Bhd, (USSB) bagi membentuk kerjasama pada masa hadapan berdasarkan kepentingan dan matlamat bersama.
Malah menerusi MoU itu juga ia dapat membawa banyak manfaat strategik kepada kedua-dua pihak khususnya dalam membuka peluang kepada generasi akan datang menceburi bidang takaful yang boleh dijadikan perniagaan bagi membina kerjaya.
Pengarah Caliph Life Sdn Bhd, Mohd Hamzavi Md Zain berkata, kedua-dua pihak boleh berkongsi kemudahan pengajaran dan pembelajaran serta memberikan akses lebih baik kepada sumber persekitaran pendidikan berkualiti tinggi.
Kedua-dua pihak juga boleh berkongsi maklumat, strategi, teknologi dan kepakaran yang membaa kepada proses pengajaran dan pembelajaran lebih cekap dan berkesan, katanya.
“Bagi USSB, memperluaskan penawaran pendidikan melalui kerjasama dengan Caliph Academy boleh membantu dalam mempelbagaikan dan meningkatkan portfolio kursus akademik terutama dalam bidang yang mempunyai kepentingan bersama seperti takaful.
“Bagi Caliph Academy pula, akses kepada sumber dan kepakaran USSB boleh membantu dalam pembangunan dan akreditasi kursus, memastikan kursus-kursus tersebut memenuhi piawaian tinggi dan diiktiraf oleh pihak berkuasa berkaitan seperti agensi kelayakan Malaysia (MQA),” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas majlis MoU berkenaan di Dewan Perdana, Felda Kuala Lumpur baru-baru ini.
Mengulas lanjut, Mohd Hamzavi berkata, Caliph Academy mempunyai pengetahuan dan pengalaman khusus dalam bidang takaful.
Ujarnya, dengan kepakaran itu, ia membolehkan mereka merangka mesej pemasaran yang berkesan kepada prospek, memastikan keunikan dan manfaat kursus-kursus disampaikan dengan berkesan.
Tambah beliau, dengan hubungan yang kukuh dalam industri takaful, Caliph Academy boleh memanfaatkan hubungan itu untuk meningkatkan usaha pemasaran dan mendapatkan pelajar yang berminat dalam bidang tersebut.
“Caliph Academy boleh memperuntukkan sumber dan tenaga kerja khusus untuk memberi tumpuan sepenuhnya kepada pemasaran kursus-kursus khusus serta memastikan usaha yang lebih berfokus dan konsisten
“Dengan MoU ini, ia mampu menjadi asas dalam pembentukan kerjasama lain di masa hadapan yang boleh diputuskan berdasarkan kepentingan dan matlamat bersama.
“Fleksibiliti ini membolehkan kedua-dua institusi meneroka dan menyesuaikan diri dengan peluang baru yang timbul,” katanya lagi.
Topic Berkaitan
Must-Watch Video