Drama
Demi Tersuka Tanpa Sengaja Amyra Rosli Sanggup Potong Rambut
Jika anda peminat setia Amyra Rosli, pasti sedar akan kelainan pelakon itu dalam drama terbarunya Tersuka Tanpa Sengaja yang sedang ditayangkan di Astro Ria dan Ria HD.
Menurut Amyra Rosli, 24, dia mengorbankan rambut panjangnya yang disimpan selama empat tahun semata-mata untuk menjiwai watak Katrina dijayakannya.
“Sayang memanglah sayang, tetapi untuk menjadi seorang artis serba boleh, saya sanggup lakukan apa sahaja.
“Produser, Datuk Rosyam Nor meminta saya untuk tampil dengan wajah baru dan saya turutkan sahaja. Lagipun rambut saya cepat panjang,” katanya kepada Astro Gempak.
Tersuka Tanpa Sengaja adalah adaptasi daripada novel karya Pena Kayu yang turut dilakonkan Amar Baharin dan Emma Maembong.
Drama terbitan produksi Suhan Movies & Trading Sdn Bhd ini telah mula bersiaran pada 7 Disember lalu dan telah mencatat lebih satu juta penonton serta menjadi trending setiap kali siarannya.
Drama romantik komedi 16 episod ini mendapat sentuhan pengarah berkaliber Keoi Haji Khalid dan disiarkan setiap Isnin hingga Khamis.
Jangan lupa saksikan Emma Maembong (Farhah), Amyra Rosli (Katrina), Amar Baharin (Dr. Syed Arif) dan Hafreez Adam (Dr. Armand) pada setiap Isnin hingga Khamis bermula jam 10 malam di Astro Ria (saluran 104) da Ria HD (saluran 123) untuk melihat sendiri kesudahan kisah mereka.