Laman Utama
"Denda Ingkar PKP Dinaikkan RM10,000" - Ismail Sabri Minta KKM Kaji & Lihat Secara Keseluruhan
Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) diminta mengkaji cadangan menaikkan denda kompaun dari RM1,000 kepada RM10,000 terhadap individu yang ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menurut Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara berkenaan telah dibawa ke Mesyuarat Khas Menteri-Menteri sebelum ini.
"Saya pernah membincangkan perkara ini (menaikkan kadar denda kompaun) dengan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) dan beliau bersetuju sewaktu PKP peringkat awal dahulu," katanya.
Jelas Ismail, beliau berharap KKM dapat menyegerakan kajian bagi pindaan itu dalam Akta 342 (Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988) sebelum dibentangkan dan diluluskan di Parlimen pada sesi akan datang.
"Jadi kita cadangkan untuk naikkan RM10,000 tetapi oleh kerana ia melibatkan Akta 342 maka akta ini perlu dibentangkan di Parlimen dan kita minta KKM mengkaji akta ini dan melihat secara keseluruhan untuk menaikkan kompaun.
"Sebab orang ramai (sekarang) mempersoalkan mengapa Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditii (Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali) hanya diberikan kompaun RM1,000?
"Sebabnya kerana Akta 342 yang digunakan untuk PKP had maksimum kompaun adalah RM1,000 sahaja dan ia tidak boleh lebih daripada itu,” katanya lagi.
KKM pada 7 Ogos lalu telah mengeluarkan kompaun terhadap Mohd Khairuddin kerana didapati melanggar perintah kuarantin wajib selepas pulang dari Turki.
Sumber: Astro Awani