Selepas sekian lama menanti, penyanyi asal Indonesia, Denden Gonjalez diumumkan sebagai vokalis baharu kumpulan rock legenda, Search.

Gitaris Search, Noordin Mohd Taib berkata, Denden dipilih untuk mengisi posisi utama kumpulan itu memandangkan kebolehannya untuk menyanyikan lagu bernada tinggi.

“Kami nampak dia banyak menyanyi di Youtube dan banyak lagu-lagu Search turut dinyanyikan semula oleh Denden. Selain itu, sebab kami memilih Denden juga kerana suaranya yang tinggi dan dilihat bersesuaian untuk menyanyikan lagu-lagu kami.

“Tambahan pula, usia Denden juga masih muda iaitu baru 38 tahun. Jadi, kami yakin dia boleh membawakan lagu-lagu Search dengan baik,” katanya kepada Gempak ketika ditemui pada sidang media Pengumuman Penyanyi Baharu Search dan Pembukaan Rock Station di ibu kota sebentar tadi.

Selain Denden, Yan atau nama sebenarnya, Amran Marsiman turut diumumkan sebagai pemain bass kumpulan Search.

Noordin menjelaskan, Yan bersetuju untuk menyertai Search kerana keserasian yang ada padanya bersama kumpulan itu.

“Yan memang serasi dengan Search. Dia pernah bermain dalam banyak konsert Search termasuk ketika Search membuat persembahan di New Music Seminar di New York, Amerika Syarikat pada 1991,” katanya lagi.

Selain itu, Search mengekalkan khidmat Pae sebagai pemain dram yang selama ini mengisi posisi pemain undangan bagi menggantikan Allahyarham Yazit Ahmad ketika arwah mula mengalami masalah kesihatan beberapa tahun lalu.

Search juga mengumumkan potensi kolaborasi dengan penyanyi-penyanyi popular lain dari pelbagai negara seperti Singapura dan Jepun.

Ditanya mengenai penglibatan dengan bekas anggota Search iaitu Amy dan Nasir pada masa akan datang, Noor sentiasa terbuka dengan sebarang kemungkinan.

“Kami tidak pernah menolak mereka. Kita tak tahu akan datang jadi apa, kita berharap sahajalah. Kami terpaksa teruskan Search kerana kumpulan ini masih ada peminat,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Search juga mengembangkan karier dalam bidang perniagaan dengan pembukaan Search Rock Station di Kompleks Campbell, Kuala Lumpur yang mula beroperasi pada 31 Disember lalu.

Search Rock Station merupakan kedai yang menjual barangan cenderahati rasmi Search seperti baju-t, kasut dan topi.

Amy mengundurkan diri daripada Search pada Mac 2020.