Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dengan Dua Kali Lafaz, Haqiem Rusli Sah Bergelar Suami Anis Sofea

Mya Amri
19/11/2021 07:53 MYT
Dengan dua kali lafaz, penyanyi popular, Haqiem Rusli, 24, selamat bergelar suami kepada Anis atau nama sebenarnya Wan Anis Sofea Wan Zamzuri.

Pasangan ini disatukan di Masjid Raja Haji Fi Sabilillah yang lebih dikenali sebagai Masjid Cyberjaya kira kira jam 3.40 petang.

Haqiem atau nama sebenar Ridzuan Haqiem Rusli menyerahkan mas kahwin sebanyak RM300, selain wang hantaran, RM100,000.

Pasangan yang menjalinkan cinta sejak dua tahun lalu itu dinikahkan Ketua Pegawai Agama Daerah Sepang, Zamzuri Ruslan sambil disaksikan bapa pengantin wanita, Wan Zamzuri Wan Muhammad.

Dalam majlis serba ringkas dan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) itu dihadiri 20 orang tetamu di kalangan keluarga terdekat mempelai.

Haqiem kacak mengenakan persalinan berwarna kelabu rekaan Razman Razmi menyerahkan lima dulang hantaran berbalas jumlah sama oleh pihak pengantin perempuan.

"Saat yang saya tunggu selama ini untuk menghalalkan hubungan kami akhirnya terpateri.

"Selepas mengumumkan berita nak menamatkan zaman bujang beberapa bulan lalu, saya bersyukur kerana keinginan itu tidak hanya direstui keluarga, namun penyokong saya termasuk kelab peminat Qiemilio.

"Biarpun akur, detik bersejarah ini berlangsung di era pandemik COVID-19 yang segala gala serbi terbatas... saya harap fasa baru ini akan dirahmati. Saya berjanji akan menjalankan tanggungjawab ini sebaik mungkin," katanya usai majlis nikah selesai.

Bercerita mengenai detik perkenalan mereka, semuanya bermula selepas isterinya ketika itu mencari duta untuk mempromosikan perniagaan restoran miliknya di Setapak.

"Kalau nak tahu restoran Santhai Village yang saya usahakan selama ini bersama dengan dialah (isteri). Awalnya dia memang nak tawarkan saya sebagai duta restoran makanan steamboat itu.

"Tapi saya fikir kenapa tidak menjadi rakan kongsi juga. Sambil mempromosikannya, ada juga bahagian saya. Akhirnya persetujuan dicapai, kami jadi rakan kongsi. Sekarang sudah kongsi kehidupan bersama pula.

"Jadi dipendekkan cerita, kerap berjumpa dan tanpa diduga juga hati mula terpaut sayang," katanya.

Kata Haqiem yang turut melancarkan single baru Hitam Saksi Putih hari ini buat suri hatinya, dia melihat gadis berusia 19 tahun namun bercita cita besar dari Kelantan itu sebagai pelengkap diri dan hati.

"Secara ringkas, dia melengkapi saya. Dia menyempurnakan kekurangan diri.

"Saya abadikan kisah kami dalam single baharu itu. Hitam itu jadi simbolik kejahatan dan kehadirannya saya rumuskan sebagai warna putih yang banyak menyebar sisi positif dalam diri saya," katanya yang mula dikenali menerusi lagu Tergantung Sepi.

Terdahulu, penyanyi lagu Tergantung Sepi dan Mimpi ini membuat kejutan dengan mengumumkan tarikh mendirikan rumah tangga ketika berucap selepas kemenangannya pada malam kemuncak ABPBH 34.

Pasangan berkenaan turut akan diraikan malam ini dalam majlis resepsi bertemakan Seputih Salju di sebuah lokasi di pinggir ibu kota dipanggil Sky Glass dengan mengenakan persalinan rekaan Rizman Ruzaini.

Primadona Events dan Ben Signatures Event menjadi perancang majlis dalam masa tiga bulan secara privasi.

Kredit foto: @aqoimran
#Kahwin #Nikah #Haqiem Rusli #Anis Sofea
;