Pelakon Nina Iskandar menafikan sekeras-kerasnya dia menjadi punca kepada keretakan rumah tangga suaminya dan bekas isteri.

Kata Nina atau nama sebenarnya Nur Akmalina Iskandar, 27, suaminya dan bekas isteri telah berpisah dalam tempoh tertentu sebelum mereka bertemu dan mengambil keputusan untuk berkahwin pada April lalu.

"Saya sumpah dengan nama Allah semua dakwaan itu tidak betul sama sekali.

"Sebenarnya suami saya dan bekas isterinya telah berpisah sejak setahun sebelum kami berkenalan dan secara rasmi bercerai pada Januari lalu, bukannya Februari.

"Mereka sudah lama ada masalah rumah tangga mereka sendiri, saya pun tak nak campur. Biarlah itu antara mereka.

"Biarlah benda sudah lepas pun, bagi saya kami menjadi betul-betul rapat selepas perkara itu. Soal jodoh ini rahsia Allah," katanya menerusi ruangan komen Instagram menjawab pertanyaan salah seorang pengikutnya.

Nina turut meluahkan rasa kesal terhadap tuduhan terbabit meskipun pihaknya masih berdiam diri walaupun mempunyai bukti kukuh.

"Saya agak kecewa difitnah menjadi punca mereka seperti didakwa. Padahal semua bukti ada di telefon pintar suami saya, kami tak pernah mengaibkan sesiapa.

"Kami cuma simpan segala bukti mana tahu sekiranya kami betul-betul memerlukannya nanti," tambahnya.






Nina turut mengambil pendekatan undang-undang terhadap beberapa individu yang didakwa cuba memfitnahnya.

Pada Mac lalu, Nina didakwa menjadi punca keretakan rumah tangga seorang pramugari dan penolong pengarah sebuah drama.

Pelakon itu tampil membuat kenyataan dengan menafikan dakwaan terbabit.

Pada Ahad lalu status hubungan Nina dan suami yang juga kru produksi Azlan Adzanan terungkai selepas pasangan itu melangsungkan resepsi di Forest Valley Hall, Cheras.