Kerajaan bakal membenarkan penggiat seni terutamanya pelakon dan kru produksi untuk menjalankan semula penggambaran selepas Hari Raya Aidilfitri nanti.

BACA: "Kami Penggiat Seni Nak Shooting Minggu Ini, Dapur Dah Tak Berasap" - Mat London Rayu Kelulusan Kerajaan Untuk Kembali Bekerja

Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah berkata, bagaimanapun satu Standard Operation Procedure (SOP) akan ditetapkan bagi mengelakkan perkara tidak diingini berlaku.

"Minggu lepas, setelah berunding dengan pelbagai persatuan, kami telah membuat pembentangan dalam mesyuarat menteri mengenai COVID-19 yang mana hampir separuh anggota Kabinet hadir.

"Kami membentangkan permohonan bagi membenarkan pembikin filem sama ada yang ingin melakukan penggambaran drama, dokumentari atau iklan dibenarkan berbuat demikian.

"Jadi, mereka kini dibenarkan melakukan penggambaran dengan prosedur operasi standard (SOP) yang ketat bermula selepas Hari Raya," katanya ketika sesi siaran langsung Duduk Rumah Harith Iskander bertajuk 'Masa Depan Siaran Langsung Hiburan' Pasca-Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) malam tadi.

Sementara itu, menyentuh mengenai kelulusan atau kebenaran untuk mengadakan persembahan langsung, Saifuddin berkata perkara ini masih dalam perbincangan dan menunggu kelulusan daripada mesyuarat jawatankuasa MKN.

Beliau berkata penggiat industri meminta garis panduan dan kebenaran daripada pihak berkuasa sebelum mereka boleh meneruskan persembahan langsung mereka.

"Buat masa ini, mereka (jawatankuasa) berkata mereka perlu mengadakan penilaian bagi jumlah khalayak yang lebih besar, di dalam dewan atau tempat orang ramai bertemu untuk menonton wayang atau persembahan.

"Kami tidak mempunyai keputusan namun kami telah membentangkan kes kami iaitu sekurang-kurangnya kami memerlukan petunjuk mengenai bila persembahan langsung akan dibenarkan.

"Sekurang-kurangnya mereka memerlukan tempoh selama tiga bulan untuk melakukan persiapan selepas mendapat kebenaran.

"Kami telah melakukan pembentangan dan kini kami perlu menunggu jawatankuasa itu membuat keputusan mereka," katanya.

Saifuddin juga berkata beliau akan bertemu pemain industri termasuk Harith Iskander di pejabat beliau pada Khamis ini untuk lebih memahami operasi program secara langsung dan produksinya.

Sebelum ini beberapa persatuan dan pekerja seni mengeluh apabila periuk nasi mereka terjejas gara-gara pandemik COVID-19.

Justeru merayu kerajaan agar membenarkan mereka kembali bekerja bagi menyara diri dan keluarga.