Masa Depan, Pilihanmu. Daftar Sekarang!

Dera Anak Demi Perhatian Dan Wang, Drama I-Tanggang Ketengah Penyakit Mental Munchausen Syndrome By Proxy

Gempak
07/09/2021 09:25 MYT
Drama siri terbaharu, I-Tanggang memaparkan realiti penyakit mental Munchausen Syndrome By Proxy, yakni kesanggupan seorang individu untuk mendera seseorang demi meraih perhatian dan wang.

Penerbit, pengarah, penulis skrip dan pencetus idea asal I-Tanggang, Wan Hasliza Wan Zainuddin berkata, drama bersiri 12 episod ini diinspirasikan daripada kisah pembunuhan seorang wanita yang mengalami penyakit mental Munchausen Syndrome by Proxy di Amerika Syarikat (AS).

“Idea untuk menulis skrip bagi drama ini tercetus selepas dunia dikejutkan dengan kisah kematian seorang wanita bernama Dee Dee yang dibunuh oleh anaknya sendiri, Gypsy Rose. Dee Dee mengalami penyakit mental Munchausen Syndrome by Proxy iaitu penyakit mental yang ingin kita ketengahkan dalam drama ini.

"Penyakit ini berbeza dengan penyakit mental lain. Seseorang yang menghidap penyakit ini sanggup untuk mendera seseorang yang rapat semata-mata untuk meraih simpati serta wang ringgit.

“Selain itu, I-Tanggang juga memberi fokus pada konsep ‘derhaka’. Elemen ini tidak hanya datang dalam satu sudut, tetapi dikembangkan menerusi situasi berbeza daripada perspektif yang berlainan,” katanya menerusi sidang media virtual yang diadakan sebentar tadi.

Tambah Wan Hasliza, drama i-Tanggang ini digarap dengan elemen dan jalan cerita berbeza dan realistik untuk tontonan masyarakat.

“Kami berharap apa yang dipersembahkan melalui drama ini dapat dilihat bukan pada dasar hiburan semata, tetapi dari sudut pembelajaran,” katanya lagi.

Naib Presiden, Perniagaan Melayu Nusantara & Ketua Astro Shaw, Raja Jastina Raja Arshad berkata, I-Tanggang merupakan satu nafas baharu yang menawarkan jalan cerita menarik dan tersendiri.

“Drama bersiri I-Tanggang membawakan genre dan mood berbeza jika dibandingkan dengan drama-drama di bawah jenama Astro Originals sebelum ini.

“Malah, ia juga menawarkan jalan cerita berkualiti yang diinspirasikan daripada isu yang memang wujud di Malaysia dan sedikit sebanyak mampu mengajak masyarakat melihat definisi tekanan melalui perspektif institusi kekeluargaan, di samping turut memberi pendedahan tentang kesihatan mental sindrom Munchausen Syndrome by Proxy,” katanya.



I-Tanggang mengisahkan tentang Khalil Rayyan atau Khay penghidap kanser yang memerlukan kerusi roda untuk bergerak. Erma, ibu kepada Khay merupakan seorang influencer (pempengaruh) media sosial, penulis buku dan penjual minyak aromaterapi yang berjaya.

Konflik tercetus apabila Khay bertemu dengan dua rakan virtualnya Royal-E (Esra) dan CapeqRyder (Syafiq) dan menubuhkan group chat I-Tanggang.

Dilakonkan oleh Faizal Hussien, Sherie Merlis, Danish Hazriq, Nadhir Nasar, Emma Sofia, Emelda Rosmila, Wan Raja, Zarina Zainuddin, Sofea Jane, Andy Teh dan Rashidi Ishak, I-Tanggang mendapat sentuhan tiga pengarah terkenal iaitu Wan Hasliza Wan Zainuddin, Wan Alauddin Wan Zainuddin dan Rashidi Ishak.

Drama I-Tanggang akan disiarkan setiap Isnin, bermula 13 September 2021 pukul 9 malam di Astro Citra.
#Astro #Drama #Sherie Merlis #I-Tanggang
;