Derma RM100,000 Untuk Baby Naail, Netizen Puji Hafiz Mahamad - “Kenapa Orang Islam Perlu Kaya? Ini Sebabnya…”
Asyikin Mayudin
12/05/2023 01:55 MYT
12/05/2023 01:55 MYT
Tabung dana untuk seorang bayi bernama Wan Muhammad Naail yang menghidap penyakit Spinal Muscular Athropy (SMA) tahap 1 berjaya mengumpul RM9 juta.
Tabung yang dilancarkan menerusi misirakyat itu ternyata mendapat sambutan baik apabila orang ramai tidak henti memberi sumbangan dalam bentuk wang ringgit walaupun serendah seringgit.
Bagaimanapun, apa yang mencuri perhatian wargamaya apabila usahawan dan pempengaruh media sosial, Hafiz Mahamad telah menghulurkan derma berjumlah RM100,000 kepada tabung tersebut.
Hafiz menerusi hantaran di Instagram meluahkan rasa gembira apabila dapat membantu bayi berusia lapan bulan itu. Malah, usahawan itu turut menyampaikan ucapan terima kasih kepada orang ramai dan pekerjanya.
“Lima hari lepas saya sebak melihat update tentang Baby Naail. Isteri saya, dia sedih lihat keadaan anak comel itu. Alhamdulillah hari ini dia senyum. Tadi saya masuk office, staff-staff juga tersenyum dan ucapkan terima kasih.
“Lebih sebak lagi, bantuan rakyat Malaysia sangat laju, masya-Allah. Hebat misi rakyat, kerana kamu telah menghubungkan kami pada mereka yang susah.
“Aku ikhlaskan sebahagian daripada perniagaan dan aku niatkan untuk keluarga, kamu yang doakan, pasukan dan pelanggan. Dengan izin Allah semuanya tentang kejayaan demi kebahagian. Terima kasih rakyat Malaysia,” ujarnya.
Menerusi satu ciapan yang tular di laman Twitter, seorang pengguna telah berkongsi paparan skrin tangkap layar yang memperlihatkan jumlah wang berkenaan telah dimasukkan ke dalam akaun tersebut beserta nama penderma iaitu Hafiz Mahamad.
Rata-rata wargamaya yang singgah ke ruangan balas memuji sikap prihatin usahawan berusia 30 tahun itu.
Malah, ada juga yang bersoloroh mengatakan meskipun ada kalanya tindakan Hafiz kurang disenangi, namun terbukti dirinya mempunyai hati yang baik.