Hiburan

Desolasi Buah Tangan ‘Bijak’ Syafiq Yusof

gempak
Kamaruddin Razal
13/12/2016
04:11 MYT
Sponsor Banner
Desolasi Buah Tangan ‘Bijak’ Syafiq Yusof
FILEM: Desolasi
PENGARAH: Syafiq Yusof
PELAKON: Syamsul Yusof, Bella Dally, Datuk Jalaluddin Hassan, Pekin Ibrahim dan ramai lagi.
DURASI: 111 minit
PENGEDAR: Skop Production
TARIKH TAYANGAN: 8 Disember 2016
Filem ke-37 terbitan Skop Production ini menampilkan sesuatu yang berbeza. Menjalani penggambaran selama 55 hari bermula November 2014, akhirnya filem Desolasi menemui penonton dua tahun selepas itu.
Pada awalnya, penulis hairan mengapa filem ini mengambil masa yang lama untuk disiapkan. Selepas menonton Desolasi, baru penulis faham ‘kesukaran’ Syafiq untuk menyudahkan filem ini kerana hampir 60 peratus kandungan filem ini memaparkan kesan khas imej janaan komputer (CGI).
Menariknya, kesah khas CGI yang digunakan Syafiq ketika ‘mengosongkan’ bandar Kuala Lumpur sangat menarik perhatian penulis. Walaupun ada beberapa kesan kelihatan tidak sempurna 100 peratus, itu tidak mencacatkan keseluruhan jalan cerita.
Lari daripada tema biasa yang sering dipaparkan oleh filem Melayu, Desolasi menampilkan gabungan beberapa elemen seperti sains, drama dan Islamik.
Jarang elemen sains, drama dan Islamik diangkat dalam satu naskah. Percubaan Syafiq membawa tiga elemen ini ke layar lebar merupakan satu usaha yang harus dipuji.
Bercakap mengenai ilmu yang dapat dikutip sesudah tamatnya filem, Desolasi sarat dengan elemen pengajaran. Hasil buah tangan terbaru Syafiq Yusof ini membuatkan penonton terfikir sejenak selepas tamat filem.
Melihat dari segi lakonan, pembawaan watak Aiman yang dijayakan oleh Syamsul Yusof menjadi. Tidak lebih dan tidak kurang. Walaupun cara lontaran dialog Syamsul lebih kurang sama dengan filem-filem lakonannya sebelum ini, lakonan yang ditampilkan Syamsul semakin baik.
Pujian harus diberikan kepada Bella Dally, Datuk Jalaludin Hassan dan Pekin Ibrahim yang membawakan watak mereka dengan baik sekali.
Sejujurnya, penulis boleh mengatakan plot filem Desolasi berjalan dengan baik. Walaupun pelbagai keraguan ditimbulkan Syafiq di awal dan pertengahan cerita, satu demi satu persoalan dijawab dengan baik dan tidak berlebihan.
Filem Desolasi boleh dikatakan bijak dan menarik. Kalau ada filem-filem sebelum ini membuatkan penulis sempat bermain dengan telefon bimbit dalam pawagam, Desolasi membuatkan penulis fokus untuk mengetahui apa yang terjadi kerana Syafiq bijak bermain dengan perasaan dan akal fikiran penontonnya.
Filem ini menjadi bukti yang kehadiran Syafiq sebagai pengarah tidak harus dipandang sebelah mata. Ternyata Syafiq melakukan kajian yang mendalam sebelum menggerakkan sesuatu filem dan Desolasi menjadi contoh yang terbaik.
Sinopsis: Filem ini berkisarkan mengenai kisah seorang pemuda bernama Aiman yang mencari dirinya. Aiman sering dilanda cabaran dalam kehidupannya sehingga satu kejadian yang membuatkan dirinya bergaduh besar dengan bapanya.
Akibat sering ditimpa musibah, Aiman berdoa agar dia tidak lagi dilanda sebarang masalah. Namun begitu, perkara pelik terjadi apabila pada suatu hari, Aiman mendapati dirinya tinggal berseorangan di dalam dunia tanpa kehadiran manusia lain.
Teks oleh: Kamaruddin Razal
Topic Berkaitan
Must-Watch Video
Gempak Non Stop Live