Gara-gara sudah dua bulan tidak muncul di khalayak umum, Princess of Wales, Kate Middleton menjadi bualan netizen.

Isteri kepada Putera William itu dikatakan muncul buat kali terakhir ketika menghadiri kebaktian Krismas di Sandringham, England pada 25 Disember tahun lalu.

Pada 17 Januari 2024, publisiti Diraja melaporkan bahawa Kate telah menjalani pembedahan perut dan tidak akan menjalankan tugas diraja sehingga selepas Hari Easter.

Begitupun pada 29 Januari, Akaun X rasmi Putera dan Puteri Wales mengumumkan yang Kate telah pun kembali ke istana.

Kerajaan British tidak memberikan sebarang maklumat terkini mengenai keadaan Kate sehingga pertengahan Mac. Hal ini sudah tentu menimbulkan spekulasi dan prasangka terhadap keadaan Kate.

Sehubungan dengan hal itu, Forbes melaporkan telah tersebar pelbagai teori konspirasi dan khabar angin mengenai keberadaan Kate.

Hal ini kerana, Kate sentiasa dianggap oleh orang ramai sebagai individu yang mampu memenuhi imej ideal dan tradisi wanita diraja. Malah, Kate pernah muncul dengan rambut yang didandan serta mengenakan kasut tumit tinggi 24 jam selepas dia bersalin.



Orang ramai tertanya-tanya adakah pembedahan perut yang dilalui serius sehingga memerlukan tempoh pemulihan sehingga tiga bulan.

Selain itu, pada hari yang sama Kate kembali usai pembedahannya, Istana Buckingham turut mengumumkan bahawa Raja Charles sedang menjalani rawatan untuk pembesaran prostat.

Spekulasi dan khabar angin bertiup kencang kerana jarang sekali dua kerabat diraja menjalani prosedur perubatan pada masa yang sama.

Disifatkan sebagai maklumat yang mengejutkan, ramai juga merasakan bahawa Istana menyembunyikan sesuatu. Salah satu khabar angin yang disebarkan oleh penyampai televisyen Sepanyol, Concha Calleja mengatakan bahawa Kate berada dalam keadaan koma.

Foto disunting?

Selain khabar angin, gambar berkaitan keadaan Kate turut tersebar. Ada yang tulen, ada yang dimanipulasi. Ketika orang ramai membuakkan rasa ingin tahu, akhbar The Telegraph pada 18 Januari 2024 menerbitkan foto Putera William menaiki kereta, didakwa selepas melawat Kate di sebuah klinik swasta di London. Foto itu asli.

Gambar Kate turut beredar sedang duduk di tempat duduk penumpang kereta Audi yang dipandu ibunya, Carole Middleton. Namun, menurut News18, wanita dalam foto itu bukanlah Kate.



Selepas foto kabur yang beredar diperjelaskan oleh netizen, ciri wajah yang berbeza muncul, seperti ketiadaan tahi lalat dan lengkungan tulang pipi yang berbeza. Satu lagi foto kabur menunjukkan Putera William dan Kate di tempat duduk belakang sebuah kereta. Didakwa mereka baru sahaja meninggalkan Istana Windsor.

Kate memandang ke luar tingkap kereta ke arah bertentangan dengan foto itu, jadi wajahnya tidak kelihatan. Dipetik daripada News18, gambar itu berkemungkinan besar merupakan suntingan foto lama Kate dari 2016.

Foto Kate yang disunting sendiri

Kontroversi bukan sahaja dicipta oleh netizen, tetapi oleh ahli diraja sendiri menerusi manipulasi foto. Akaun media sosial Putera dan Puteri Wales, pada Ahad memuat naik foto Kate bersama tiga anaknya untuk mengucapkan selamat Hari Ibu.

"Terima kasih atas ucapan baik anda dan sokongan berterusan selama dua bulan lalu. Mengucapkan Selamat Hari Ibu kepada semua. C," tulisnya.

Huruf "C" menunjukkan bahawa muat naik itu dibuat oleh Catherine atau Kate. Terdapat beberapa keanehan dalam gambar yang dimuat naik, seperti jari dan pakaian Kate, serta lutut, skirt dan rambut Puteri Charlotte.

Setelah foto tersebut menjadi perbincangan meluas media massa, Kate kemudian memuat naik penjelasan melalui akaun X @KensingtonRoyal, pada Isnin. Dia mengaku sedang bereksperimen dengan penyuntingan foto.

"Seperti kebanyakan jurugambar amatur, saya kadangkala bereksperimen dengan penyuntingan. Saya ingin merakamkan permohonan maaf atas sebarang kekeliruan yang disebabkan oleh gambar keluarga yang kami kongsi semalam. Saya mengucapkan selamat menyambut Hari Ibu kepada semua orang. C," tulisnya.

Walaupun Kate telah memberikan penjelasan, ia tidak semestinya menghentikan khabar angin yang bertiup kencang. Timbul satu lagi persoalan, kenapa perhubungan awam Kerajaan British membenarkan gambar yang disunting yang boleh menimbulkan kontroversi?

Begitupun, sehingga kini tiada kenyataan rasmi dari United Kingdom.

Sumber: Kompas

BERITA TRENDING: Anak-Anak Tidak Dibenarkan Makan Bersama Putera William & Kate Middleton