Di Saat Haters Memfitnah, Allah Hantar Rezeki Kerabat di-Raja, Tokoh Korporat, Ahli Politik Ke Restoran Saya – Chef Wan

Fiza Kamarudin
Ogos 5, 2019 09:35 MYT
Cef selebriti terkenal, Datuk Redzuawan Ismail atau lebih dikenali sebagai Chef Wan meluahkan rasa syukur apabila diberi penghormatan untuk menyediakan makan tengahari buat Duli Yang Amat Mulia Sultanah Hajjah Kalsom di kediaman baginda.
Chef Wan menerusi muat naik di Instagram berkata, walaupun sebelum ini ada yang cuba menabur fitnah dan menjatuhkan reputasi restoran De.Wan 1958, Allah menghantar rezeki buat dirinya.
“Alhamdulilah, rasanya seperti mimpi dapat menyediakan hidangan makan tengahari buat Duli Yang Amat Mulia Sultanah Hajjah Kalsom dan semalam.
“Apabila teringat perbuatan haters yang busuk-busukan, nak jatuhkan restoran ini dengan segala fitnah di media sosial, Allah hantarkan rezeki dari kerabat-kerabat di-Raja, tokoh-tokoh korporat dan ahli-ahli politik ternama kepada saya.
“Semua haters yang buat kejahatan dan kezaliman nanti juga Allah akan balas perbuatan mereka di dunia jika tidak di akhirat nant.,” katanya.
Lebih teruja lagi apabila, pada hari yang sama Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir mengunjungi restoran De. Wan 1958 by Chef Wan bersama ahli keluarganya untuk makan tengah hari.
Kata Chef Wan, dalam hidup perlu sentiasa tanamkan sifat yang baik untuk maju, tambahan lagi ketika mahu menempa kejayaan pasti ada yang iri hati dan menyimpan hasad.
“Nak berjaya di dalam apa bidang pun pasti ada orang-orang Melayu penuh dengan sifat-sifat iri hati dan hasad dengki mereka.
“Tidak perlu layan tapi kita teruskan berbuat baik dalam hidup ini dan Allah itu sentiasa ada bersama kita,” luahnya.
Tambah Chef Wan, dia juga mendapat panggilan telefon daripada Jabatan Perdana Menteri yang mahu menempah masakan melayu untuk hidangan makan tengahari ketika kunjungan Presiden Indonesia ke kediaman rasmi Perdana Menteri, hujung minggu ini.
“Alhamdulilah, dan ini merupakan berita yang sangat gembira buat saya kerana mendapat kepercayaan daripada Perdana Menteri untuk memasak kepada ketua negara lain.
“Allah adalah sebaik-baik perancang,” luahnya penuh kesyukuran.
#Restoran #Chef Wan #Tun Mahathir