Pelakon dan pengacara, Amelia Henderson mendedahkan dia pernah mencuba nasib untuk membina nama di Hollywood sebelum ini.

Namun selepas dua tahun menapak, Amelia atau nama sebenarnya, Amelia Thripura Henderson, berwajah Pan-Asia terpaksa akur bukan mudah dan membuat keputusan untuk berpatah balik.

“Sebenarnya saya pernah ‘pack my bag and leave’ (cuba nasib di luar negara). Saya pernah tinggal di Los Angeles, California, Amerika Syarikat (AS) selama dua tahun.

“Bukan nak cakap pengalaman tinggal di sana tidak menyeronokkan. Seronok tetapi, saya lahir di Malaysia dan asal dari negara ini.

“Jadi, bila sampai sana, saya baru sedar betapa ‘Malaysianya’ saya. Masa sampai sana, saya sedar saya ini bukanlah mat salih sangat (pun), saya orang Malaysia dan Asia. Jadi, saya buat pusingan U (u-turn) dan pulang ke Malaysia,” katanya kepada Astro Gempak.

Pelakon berwajah Pan-Asia dan mampu bertutur dalam bahasa Inggeris dengan fasih itu ditemui selepas tayangan perdana filem Didi & Friends The Movie pada Rabu.

Menurut Amelia sangkaannya meleset kerana pakej yang ada pada dirinya iaitu dari segi rupa dan tutur kata tiada bezanya dengan pelakon local di sana.

“Bila saya jual bakat sebagai seorang pelakon, saya kena tengok apa persaingan yang sudah sedia ada di pasaran.

“Untuk seseorang yang macam saya bila pergi AS, dahlah muka saya serupa macam orang sana. Saya cakap pun sama macam mereka.

“Jadi, apa perbezaan saya dengan orang lokal di sana? Tambah lagi, saya tiada dokumentasi untuk menyenangkan kerja di sana. Saya tiada pasport AS, pasport saya Malaysia,” ujarnya.

Pun begitu, pengacara Gempak Most Wanted itu memberitahu tidak salah untuk memasang angan-angan yang tinggi namun seperti kata peribahasa, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri.

Selain Amelia, selebriti lain yang turut menyumbang suara sebagai cameo dalam Didi & Friends The Movie adalah Datuk Awie, Waris dan Ruminah Sidek.

Dapatkan tiket dan saksikan filem animasi genre animasi, pengembaraan, muzikal ini di pawagam- pawagam berhampiran mulai 23 Februari 2023.